Motosikal yang ditunggang oleh Ahmad Nazri Razani, terbabas di Jalan Lipis- Merapoh.

KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 37 Jalan Lipis-Merapoh, Lipis pada pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian pukul 11.28 pagi itu, mangsa, Ahmad Nazri Razani, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala.

Tambah beliau, Ahmad Nazri yang beralamat di Kampung Tapang, Jalan Hospital, Kota Bharu, Kelantan dipercayai menunggang motosikal menghala ke ibu kota pada jam 7.30 pagi.

“Mangsa merupakan pekerja kilang di Shah Alam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercaya terbabas sendiri menghala ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja.

“Mangsa menunggang secara keseorangan, apabila sampai di tempat kejadian mangsa telah dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke arah tepi jalan sebelah kiri jalan,” katanya.

Menurut Azli, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis dan sesi bedah siasat dijalankan sejurus ujian calitan Covid-19 diperolehi.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen SEK 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette