Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mula dibayar semalam secara berperingkat membuatkan kebanyakan pencarum yang memohon menarik nafas lega.

Rata-rata pencarum melahirkan rasa syukur kerana kebenaran kerajaan mengeluarkan wang caruman itu dapat meringankan beban terutama menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ashimah Rahman

Seorang pekerja swasta, Ashimah Rahman, 30, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pengeluaran khas tersebut.

“Terima kasih kepada PM sebab berikan kami peluang membuat pengeluaran khas KWSP ini.

“Saya akan gunakan sebaik mungkin untuk bantu keluarga dan membeli barangan keperluan,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Bangunan KWSP di sini, hari ini.

Fatin Izzati A Rahim

Seorang lagi pekerja swasta, Fatin Izzati A. Rahim, 30, turut berkongsi keterujaannya apabila pengeluaran khas sebanyak RM10,000 itu akan digunakan untuk memeriahkan Aidilfitri bersama keluarga di kampung.

“Saya nak beli baju raya untuk anak dan mak ayah sebab raya kali ini lebih meriah bila semua keluarga dapat balik kampung,” ujarnya.

Syala Mustaffa,

Berbeza dengan sahawan muda, Syala Mustaffa, 32, yang mengambil peluang pengeluaran khas KWSP itu untuk meningkatkan modal perniagaannya.

“Alhamdulillah bila dapat keluarkan KWSP, paling utama saya dapat tanggung keperluan kedai saya. Saya dapat tambah produk dan buat pusingan modal.

“Terima kasih kepada kerajaan yang bantu rakyat terutama peniaga yang terkesan seperti kami, pengeluaran KWSP ini memang ringankan beban kami,” ulasnya.

Zailani Talib

Bagaimanapun, seorang pekerja swasta, Zailani Talib, 59, berkata, beliau tidak memohon sebarang pengeluaran kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Saya tiada buat sebarang permohonan sebab saya tak terdesak. Saya bagi orang lain yang nak keluar dulu. Saya bagi kepada yang lebih berkeperluan, saya mungkin lain kali,” katanya.

Terdahulu, KWSP memaklumkan sudah menerima sejumlah 5.3 juta permohonan bernilai RM40.1 bilion di bawah kemudahan Pengeluaran Khas setakat 14 April lalu. – MalaysiaGazette