Taufiq Yap Yun Hin

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menyerlah di pentas antarabangsa apabila buat pertama kalinya subjek kejuruteraan petroleum disenaraikan dalam penarafan QS University Rankings by Subject 2022.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, ia merupakan kejayaan kedua selepas bidang pertanian dan perhutanan turut tersenarai pada penarafan sebelum ini.

Subjek kejuruteraan petroleum disenaraikan pada kedudukan 151 – 160 terbaik dunia manakala di peringkat kebangsaan, subjek ini berada pada kedudukan yang keenam terbaik.

Menurut Taufiq, kejayaan itu juga disemarakkan lagi apabila subjek pertanian dan perhutanan UMS diiktiraf pada kedudukan keempat terbaik daripada seluruh universiti di Malaysia.

”Di peringkat dunia, program ini berada pada kedudukan 351-400 terbaik "Penyenaraian dua bidang ini sekali gus menunjukkan bahawa UMS berada pada landasan yang tepat sebagai institusi ilmu yang unggul.

”Ia seiring dengan kedudukannya di bumi Negeri di Bawah Bayu yang terkenal dengan kekayaan sumber asli (minyak dan gas), dan sumber berasaskan alam semula jadi (pertanian dan perhutanan),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, penarafan QS World University Rankings by Subject itu menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 51 subjek.

Komponen utama penilaian pula terdiri daripada reputasi, sitasi, penerbitan serta satu komponen baharu iaitu jaringan kolaborasi antarabangsa dalam penyelidikan.

Keupayaan berada dalam kedudukan universiti terbaik dunia membuktikan universiti Kampus Rahmah ini setanding dengan universiti terkemuka lain di pentas antarabangsa, katanya.

Beliau berkata, pencapaian tersebut sudah pasti tidak mampu diraih tanpa kesepakatan dan usaha bersama dari semua pihak. – MalaysiaGazette