Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap kepada media selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Persidangan Movenpick, Sepang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 APRIL 2022.

SEPANG – Seramai 104 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Depot Sementara Imigresen di Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang pada awal pagi semalam masih bebas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada keseluruhan 528 pelarian yang melarikan diri itu, seramai 424 orang telah ditahan semula.

“Berdasarkan setakat jam 7 malam tadi, kita dilaporkan bahawa masih terdapat seramai 104 lagi pelarian Rohingya masih bebas di luar sana dan sedang dikesan pihak berkuasa,” katanya selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Ramadan dan Pelancaran Mushaf Al-Quran edisi terkini di Pusat Konvensyen Movenpick, di sini, hari ini.

Tambahnya, pelarian yang ditahan semula itu telah ditempatkan di beberapa depot imigresen lain bagi mengelakkan mereka berkumpul.

Katanya, beliau telah mengarahkan siasatan siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenalpasti dalang insiden tersebut.

Sementara itu, Hamzah memberitahu, Malaysia tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menceroboh masuk ke dalam negara dan merejka yang ditahan tertakluk kepada undang-undang Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia tidak boleh menghantar pelarian Rohingya pulang ke Myanmar kerana kerajaan negara itu tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara.

“Kita nak memaklumkan kepada mereka yang teringin nak datang ke sini walaupun kita atas sifat kemanusiaan kita menjaga mereka tapi bukan bermakna kita mahu mereka berada di sini.

“Jika kita nak hantar mereka balik, kita nak hantar balik ke mana? ini yang menjadi masalah kepada kita sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette