Ahmad Nazim Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Kesan domino kewangan yang akan berlaku jika projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) tidak diteruskan kerana ia boleh mengakibatkan rosot nilai
sehingga RM2.1 bilion iaitu 21 peratus daripada keseluruhan jumlah dana persaraan yang diuruskan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Jika ini berlaku, LTAT tidak akan berupaya untuk terus memberikan pulangan kepada pencarum untuk sekurang-kurangnya enam tahun akan datang, kata Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman.

Selain itu, LTAT terdedah kepada potensi kerugian yang besar menerusi pegangan majoritinya dalam Boustead Holdings Berhad (BHB) sebanyak 59.4 peratus dan 61 peratus pegangan efektif dalam syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Oleh itu, katanya, kelulusan Kabinet ke atas pelan pemulihan projek LCS ini secara langsung telah mengelakkan ‘malapetaka’ kewangan kepada LTAT dan membolehkan LTAT terus memberi fokus kepada pemeliharaan modal dan peningkatan nilai dalam jangka panjang bagi memastikan kedudukan kewangan LTAT terus berada pada tahap yang baik.

”LTAT menyambut baik keputusan Kabinet dalam meluluskan Pelan Pemulihan Projek LCS yang secara langsung dapat melindungi dana daripada impak negatif akibat menanggung kerugian jika projek itu tidak dipulihkan segera,” katanya dalam kenyataan di sini.

Keputusan kerajaan itu, jelas Nazim sudah pasti akan membolehkan LTAT memberi pulangan mampan dan kompetitif kepada pencarumnya yang merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, langkah proaktif LTAT, bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, TLDM serta Jawatankuasa Khas Kabinet bagi mencari jalan penyelesaian agar projek tersebut diteruskan telah mengambil kira kesemua aspek termasuk implikasi kewangan kepada kerajaan serta kaedah meningkatkan tadbir urus untuk menjamin kesemua kapal LCS akan disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Oleh itu, tambah beliau, LTAT terus komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan pelan pemulihan ini dapat direalisasikan demi kepentingan strategik negara.

Keputusan Kabinet itu dibuat berdasarkan dua faktor iaitu LCS sememangnya aset yang amat diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), seiring perancangan pemodenan TLDM serta untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada negara serta menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara.

Kedua, terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion merangkumi pelbagai perkara antaranya lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia, 90 peratus daripadanya berhubung kait dengan veteran.

Berikutan itu, Kabinet akan menubuhkan sebuah jawatankuasa tadbir urus khas yang akan memantau tadbir urus projek berkenaan dalam tempoh enam bulan.

Projek itu menelan kos sebanyak RM9 bilion dan RM6 bilion telah dibelanjakan. – MalaysiaGazette