Sebahagian jemaah mula menunaikan solat terawih pada malam pertama Ramadan dalam kedaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki Fasa Endemik ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 02 APRIL 2022.

RAMADAN, satu bulan yang penuh kemuliaan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, Lailatul Qadar. Ketibaan Ramadan dinanti, perginya pula bakal ditangisi. Dalam analogi pendidikan tinggi, Ramadan ibarat sebuah “universiti”. Universiti (Ramadan) ini unik kerana sifatnya yang sarat dengan amalan-amalan pendidikan, penyelidikan, dan perkhidmatan.

Dalam bulan Ramadan, tegahan untuk hanya berehat-rehat atau banyak tidur adalah satu peringatan yang perlu dihayati sebaiknya. Sebaliknya, Ramadan ini harus dibangunkan dengan amalan-amalan yang mengaktifkan para insan. Ramadan ibarat sebuah universiti yang memiliki peranan mendidik para insan agar dekat kepada Tuhan. Bulan Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran, tepatnya pada tanggal 17 Ramadan.

Al-Quran sebagai kitab panduan adalah simbol penting pendidikan kerana pendidikan memerlukan sumber rujukan autentik bagi menjana pendidikan yang terarah dan terpandu dengan nilai-nilai Rabbani (Ketuhanan). Universiti selama-lamanya memiliki citra sebagai ejen pendidikan yang mencerdikkan anak watan dan berpandukan “kitab-kitab” atau bahan rujukan. Ramadan sebagai sebuah universiti, membentuk para insan yang terang akalnya, menyuluh kehidupan para insan menjadi manusia terbilang.

Ramadan juga memiliki citra penyelidikan. Ramadan menjadi masa terbaik untuk membuat pembacaan berkualiti, yang menjadi asas penting untuk melakukan penyelidikan berimpak tinggi. Fokus lebih besar dapat diberikan untuk proses berfikir yang lebih mendalam, lantaran tiada keperluan untuk memenuhi keperluan makan minum pada waktu bekerja. Penumpuan lebih baik dapat dijana, justeru penyelidikan menjadi lebih berhasil dan lebih banyak karya penulisan dapat dihasilkan, Insya-Allah.

Tidak hanya itu saja, Ramadan juga memiliki citra perkhidmatan untuk masyarakat dan negara. Universiti adalah entiti yang bergerak bersama-sama dengan massa, membina sebuah komuniti yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan kejiranan. Dalam bulan
Ramadan, aktiviti gotong-royong masih dapat dijalankan dan Ramadan bukan satu kekangan untuk melakukan aktiviti fizikal.

Keberhasilan Ramadan adalah pada waktu-waktu menjelangnya 1 Syawal. Pada akhir Ramadan, Muslimin dan Muslimat menunaikan zakat fitrah sebagai pelengkap ibadah di bulan Ramadan. Universiti kini sarat dengan pelbagai peluang untuk berwakaf dan menyumbang kepada dana endowmen. Menyumbang kembali kepada universiti yang banyak berbakti kepada pertiwi adalah satu usaha melestarikan institusi pendidikan tinggi agar terus mampan dalam mendepani cabaran materi dan globalisasi.

“Graduan” universiti Ramadan adalah para Muslimin dan Muslimat yang telah bersih jiwanya dan bersedia mengharungi sebuah kehidupan baru pasca Ramadan. Tanggal 1 Syawal, Hari Raya Aidil Fitri disambut sebagai satu kemenangan atau kejayaan menempuh ujian di bulan penuh kemuliaan. Graduan universiti pula, haruslah memiliki jiwa yang cukup tersedia dengan kehidupan pasca pengajian, yang jauh lebih mencabar. Jiwa ini haruslah kental menghadapi apa jua cabaran dan rintangan, serta tidak akan pernah putus asa. Ujian seumpama melalui
Ramadan, tanpa makan dan minum pada pagi dan petang hari, adalah simbol ketahanan jiwa yang tetap percaya kepada kejayaan yang bakal ditempa.

Ramadan adalah sebuah universiti yang menjana para insan yang percaya terhadap ganjaran ukhrawi berbanding duniawi. Menyempurnakan ibadah puasa pada pagi dan petang hari menjanjikan pulangan yang bersifat jangka panjang (akhirat) berbanding mengharap pulangan jangka pendek (dunia). Hanya Dia sahaja yang dapat membalasi amal agung ini. Insan-insan di universiti harus lebih percaya pulangan jangka panjang dan tidak terlalu berfikir secara jangka pendek (short-termist). Usah terlalu mengharap imbuhan yang sifatnya sementara, sedangkan perkhidmatan kita berikan haruslah kerana Tuhan untuk manusia. Inilah nilai harus kita pegang seeratnya sebagai motivasi dalaman yang terbaik buat diri.

Pada saat Ramadan inilah, warga universiti harus terus memperbaiki kualiti diri dengan benar-benar menghayati dan mengamalkan integriti. Ramadan mengajar kita untuk jujur terhadap ibadah puasa. Pada asasnya, jika kita pilih untuk tidak berpuasa, tiada sesiapa yang mungkin mengetahuinya selain Allah. Namun, kita tetap berintegriti dan menjaga ibadah puasa kita agar tidak rosak. Inilah cerminan sikap integriti yang harus kita teruskan dalam konteks kerja harian. Walau tiada sesiapa yang melihat atau memantau (melainkan Allah swt), kita tetap melakukan kerja dengan kualiti terbaik

Bersama-samalah kita mencipta Ramadan yang lebih berkualiti untuk tahun ini. Semoga Allah swt menerima ibadah puasa kita, Insha-Allah. Selamat menyambut bulan Ramadan buat sekalian Muslimin dan Muslimat, khasnya kepada warga pendidikan tinggi.

Oleh: Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) &

 

 

 

Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin
Eksekutif Penyelidik di Pejabat Naib Canselor
UTM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast