Dokumen-dokumen kad pengenalan diri, sijil kelahiran, lesen memandu, cukai jalan yang disyaki palsu antara yang dirampas selepas sepasang suami isteri dipercayai dalang sindiket itu ditahan polis semalam.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri, geran kenderaan, lesen memandu dan cukai tumpas dengan tertangkapnya suami isteri yang disyaki mendalangi kegiatan itu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, pasangan tersebut bergiat aktif di sekitar Selangor.

“Pada Khamis jam lebih kurang 9 malam, bertempat di sebuah restoran di Taman Dato Harun, Petaling Jaya, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor telah membuat pemantauan dan pemerhatian ke atas sepasang suami isteri itu yang dipercayai dalang kepada sindiket tersebut.

“Setelah pemantauan dibuat pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas lelaki dan perempuan warga tempatan berusia lingkungan 58 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Azman, hasil pemeriksaan ke atas pasangan suami isteri itu membawa kepada rampasan dokumen palsu meliputi dua kad pengenalan, sekeping kad pemastautin tetap dan sekeping sijil kelahiran warga negara Malaysia.

Selain itu katanya, turut dirampas adalah tiga buah telefon bimbit, kunci, sampul berwarna coklat dan empat keping kad ATM.

“Hasil soal-siasat awal polis yang dijalankan ke atas pasangan suami isteri itu akhirnya berjaya membawa kepada sebuah rumah di kawasan Pantai Dalam di ibu negara dan hasil pemeriksaan telah menjumpai dokumen-dokumen dipercayai palsu dan alat percetakan.

“Antara barang yang ditemui didalam rumah itu dan dirampas adalah lapan keping sijil kelahiran pelbagai nama disyaki palsu, 19 keping geran kenderaan (VOC) bercetak pelbagai nombor kenderaan disyaki palsu, tiga keping geran kenderaan (VOC) kosong, empat keping cukai jalan kenderaan bercetak pelbagai nombor kenderaan, 59 keping cukai jalan kenderaan kosong, sebungkus kertas pelekat, satu set komputer riba, satu unit mesin cetak, seunit modem router dan seunit modem,” ujarnya.

Azman berkata, hasil semakan mendapati suspek lelaki itu mempunyai satu
rekod jenayah lampau iaitu kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan (Pemalsuan)

Katanya, siasatan telah dijalankan d ibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dengan sebatan dan denda.

“Jelas beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman mengikut peruntukan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula Jumaat hingga 25 April ini untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette