Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 APRIL 2022

PUTRAJAYA – Mana-mana jemaah yang tidak dapat menunaikan haji tahun ini tidak berdosa.

Itu kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Jelasnya, kegagalan untuk menunaikan rukun Islam kelima tidak jatuh hukum berdosa kerana tidak dapat menunaikan haji kerana ia tidak memenuhi syarat ibadat itu iaitu berkemampuan.

“Dalam Islam, syarat untuk menunaikan haji mengikut kemampuan, walaupun kita ada duit dan sihat tubuh badan. Kadangkala perjalanan nak ke Mekah tidak selamat sama ada jalan darat mahu pun jalan laut, maka kita tidak berdosa.

“Yang berdosa jika kita ada kemampuan dan kesihatan tapi kita tidak mahu pergi, itu salah,” katanya dalam sidang media selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena program townhall dan pelancaran Buku Keluarga Malaysia Sejahtera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Purtajaya hari ini.

Idris mengulas pertanyaan media mengenai kuota haji yang dikurangkan kepada 14,306 tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang kebiasaannya diterima.

Justeru itu, beliau menasihatkan jemaah yang tidak disenaraikan sebagai tetamu Allah untuk menjalankan ibadah haji tahun ini memahami maksud sebenar istita’ah iaitu antara syarat wajib haji yang bermaksud kemampuan seseorang.

Beliau berkata, Rasullulah SAW sendiri pernah ditanya sama ada ibadah haji itu wajib dilakukan setiap tahun namun baginda bersabda, jika diwajibkan sedemikian ia akan menyusahkan individu berkenaan.

“Walaupun kita tidak boleh pergi menunaikan haji oleh faktor dan peraturan, pahala tetap akan diberikan kepada kita,” katanya lagi.

Semalam, Idris memaklumkan kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 yang mana 85 peratus daripadanya untuk jemaah luar.

Jumlah sejuta jemaah itu adalah 45 peratus daripada 2.5 juta orang pada 2019. – MalaysiaGazette