KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanankecewa dengan tindak tanduk Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang dilihat suka ‘berdrama’ dalam isu buruh paksa.
Kata Timbalan Presiden MIC itu, sejak beberapa hari ini Ramasamy yang pada awalnya kelihatan begitu bersungguh-sungguh bercakap tentang buruh paksa di negara ini dengan mendakwa Saravanan mengambil mudah isu tersebut.
Bagaimanapun dakwa Saravanan, walaupun beliau sudah memberikan persetujuan untuk berdebat tentang isu tersebut namun Ramasamy berterusan mengeluarkan kenyataan provokasi.
“Jadi persoalan saya ketika ini, apa sebenarnya agenda Ramasamy? Nampak terang lagi bersuluh semua kenyataan ini hanya sekadar drama meraih publisiti sahaja.
“Saya sudah setuju apabila dicabar oleh beliau untuk berdebat dengannya tentang isu buruh paksa, bagus juga debat ini kerana semua dakwaan dikeluarkan oleh Ramasamy dan kawan partinya, Kulasegaran lebih kepada serangan daripada fakta berasas.
“Malah saya beri beliau kebebasan untuk pilih tarikh untuk tujuan debat itu namun saya pelik dengan perangainya seperti tidak perpuas hati sebaliknya berterusan mencari publisiti murahan.
“Jika ini berkaitan rakyat dan kepentingan negara jadi mengapa seperti ada agenda untuk menyerang saya? Ini isu buruh paksa bukannya masa cari publisiti.
“Kini Ramasamy juga mahu untuk bercakap bukan sahaja isu paksa sebaliknya juga isu-isu lain, jadi soalan saya apa sebenarnya yang kamu mahu? Adakah mahu terus berbalah dan lakukan provokasi ada lagi perkara lagi penting,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemimpin DAP berterusan serang Saravanan berhubung isu buruh paksa
Pagi tadi Saravanan telah menyatakan persetujuan untuk berdebat kepada Ramasamy susulan dari kenyataan beliau meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia untuk memaklumkan kepada agensi berkaitan sebelum menyiasat buruh paksa.
Baru-baru ini Saravanan mendedahkan negara ini komited menyelesaikan isu buruh paksa namun dan memaklumkan permintaan itu kepada ILO dan Kedutaan AS.
Beliau menghadapi beberapa kesukaran kerana beberapa produk keluaran Malaysia diharamkan atas faktor buruh paksa namun sehingga kini tidak menerima sebarang maklumat lanjut berkaitan siasatan berkenaan.
Dalam pada itu, kata Saravanan, beliau tidak berminat untuk berterusan memberi maklum balas kepada Ramasamy dalam media sosial.
“Saya seorang menteri, saya tidak ada masa layan perangai kebudak-budakan ini, lagi melayan lagi menjadi untuk pemimpin ini kekal relevan di mata rakyat.
“Oleh itu sudah-sudahlah ya. Walaupun Ramasamy seperti tidak banyak pengetahuan dalam isu buruh paksa atau ILO dan pihak berkuasa AS, saya tetap terima cabaran berdebat dengannya di platform yang betul.
“Sehingga itu tidak perlu jadi keyboard warrior atau khidmat cybertroppers untuk berterusan menentang saya, saya banyak kerja rasmi perlu dilaksanakan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Berhenti keluar kenyataan buruh paksa jika tidak faham – Saravanan