SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari memerintahkan portal berita Malaysia Now untuk membayar ganti rugi RM50,000 kepada syarikat perlombongan bijih timah dan pasir KL Larut Sdn Bhd milik ahli perniagaan terkenal, Oms Thiagarajan hari ini.

Ini selepas KL Larut menyaman portal berkenaan atas dakwaan menyiarkan empat artikel secara bersiri dan berterusan selama dua hari pada 7 November 2020 yang mengandungi fakta tidak berasas serta fitnah dengan niat jahat bagi menjejaskan reputasi syarikat.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Choo Kah Sing turut memerintahkan portal berkenaan untuk membayar kos lain sebanyak RM15,000.

“Defendan diarahkan untuk keluarkan kata-kata fitnah yang telah diadukan dalam 4 artikel yang telah diterbitkan dalam portal berita tersebut pada 7/11/2020 dan 8/11/2020 dengan mana-mana cara termasuk melalui media cetak atau elektronik juga dalam media sosial termasuklah WhatsApp dalam tempoh 48 jam.

“Defendan juga perlu membayar plaintif gantirugi am sebanyak RM50,000 dan kos sebanyak RM15,000 tertakluk pada alokatur,” katanya hari ini.

Selain itu, hakim turut memerintahkan defendan untuk tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian di mana-mana selepas ini.

Ketika menghubungi MalaysiaGazette, kata Thiagajaran, beliau lega dengan keputusan itu yang terang-terangan cuba menjatuhkan reputasi serta syarikatnya dengan agenda tertentu.

Oms Thiagarajan

“Memang benar saya adalah seorang yang amat percaya kepada kebebasan media namun perlu ada etika, perlu pastikan apa yang di tulis atau di terbitkan itu mempunyai fakta,” tegasnya.

MalaysiaGazette difahamkan portal berkenaan menuduh KL Larut telah memperolehi pembaharuan pajakan melombong selama 10 tahun secara tidak sah, salah di sisi undang-undang serta korup dengan campur tangan pihak ketiga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast