RM20 repentance package
pakej taubat

KUALA LUMPUR – Islam tidak pernah menawarkan perkhidmatan pakej taubat dengan mengenakan bayaran serendah RM20 bagi satu penama hanya untuk menghapuskan kekhilafan sendiri.

Dewan Pemuda Pas dalam satu kenyataan berkata, perkara itu sangat mengejutkan kerana Islam amat menggalakkan setiap muslim agar sentiasa bertaubat jika melakukan kesalahan.

“Untuk mengekang isu seperti ini daripada tersebar secara meluas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad akan mengambil tindakan segera terhadap pelaku tersebut.

“Bahkan Jabatan Agama Islam negeri telah diarahkan untuk menyiasat kemunculan laman sosial yang menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20,” katanya kenyataan itu, hari ini.

Sabtu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad memberi jaminan pihaknya akan menyiasat perkara itu bagi mengesan mereka yang terbabit dengan pakej berkenaan untuk diambil tindakan.

Malah katanya, Jabatan Agama Islam negeri juga diminta menyiasat kemunculan laman sosial yang menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20.

Kenyataan itu berkata, perkara yang melibatkan hal-hal agama tidak sepatutnya dijadikan urusan jual beli demi keuntungan pihak tertentu hanya semata-mata untuk menghapuskan dosa seseorang.

“Sudah pasti, ini merupakan komitmen PAS untuk terus konsisten menjaga kesucian agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette