Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam diminta menjelaskan maksud ‘melanggar doktrin pengasingan kuasa dan menjejaskan kebebasan badan kehakiman’ yang menegah polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh menyiasat Hakim Nazlan yang didakwa menerima rasuah.

Pengamal undang-undang yang merupakan bekas pemilik firma guaman terbesar negara, Datuk Zaid Ibrahim berkata, sedangkan dalam badan kehakiman itu sendiri ada mekanisme dalaman yang membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara yang melanggar kod etika kehakiman.

“Saya terpanggil untuk membuat penjelasan ini selepas pelbagai pihak mengecam dan marah-marahkan SPRM kerana menyiasat laporan yang dibuat ke atas Hakim Nazlan.

“Kemarahan mereka ini berpunca daripada tanggapan bahawa siasatan ini adalah satu bentuk tekanan terhadap seorang hakim, yang telah menjatuhkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes 1MDB dan SRC.

“Terus terang saya tak faham apa maksud ‘yang kerana semata-mata kita ada satu sistem pengasingan kuasa ini’, maka SPRM dan polis tak boleh siasat aduan yang dibuat mengenai sesuatu jenayah yang dilakukan seseorang hakim,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.

Pagi semalam, Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn dilaporkan berkata, siasatan ke atas Hakim Nazlan yang didakwa terima rasuah adalah kononnya melanggar doktrin pengasingan kuasa dan juga menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman.

Dalam satu kenyataan itu, dia kata “ada mekanisme ditetapkan bagi menangani isu ini dan… sebarang percubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh dilihat sebagai menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman”.

Menurut Zaid, kemarahan mereka itu berasaskan kononnya, disebabkan pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan badan kehakiman.

Beliau menjelaskan, apa yang diperkatakan oleh Majlis Peguam itu bukan sistem perundangan yang digunapakai di negara ini kerana badan penyiasat seperti polis dan SPRM boleh menyiasat aduan orang ramai terhadap hakim.

“Kalaulah itu kefahaman pengasingan kuasa pada mereka, maka Ahli-ahli Parlimen yang merupakan satu lagi cabang kerajaan iaitu legislatif juga tidak boleh disiasat.

“Bagaimana kalau Ahli-ahli Parlimen melakukan rasuah? Adakah internal mekanisme yang disebut-sebut yang digunapakai untuk menyiasat salah laku hakim ini hanya dalam hal-hal tertentu sahaja?,” soal beliau. – MalaysiaGazette