Kebersihan gigi dan mulut perlu diberi perhatian. Gambar hiasan

 

BULAN Syawal akan menjelang tidak lama lagi dimana umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Selama dua tahun berturut turut, kita tidak berpeluang menyambut raya disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan. Alhamdulillah, tahun ini sambutan Hari Raya kemungkinan akan menjadi lebih meriah daripada biasa.

Setelah sebulan berpuasa, pastinya kita menantikan untuk menikmati juadah yang sedap dan enak sempena Hari Raya. Menikmati juadah tidak salah namun perlu diingat juga berkenaan kesihatan gigi apabila menikmati makanan. Juadah utama di hari raya seperti ketupat dan nasi impit/lontong selalunya dimakan bersama dengan rendang atau kuah lodeh. Rendang dan kuah lodeh akan dimasak dengan menggunakan kunyit yang berwarna kuning.

Memakan makanan yang berwarna ini boleh memberi kesan kepada warna gigi terutama bagi yang baharu sahaja melakukan rawatan pemutihan gigi. Minuman seperti teh, kopi serta air kordial yang mempunyai warna juga boleh memberi kesan kepada warna gigi. Oleh itu, kurangkan mengambil makanan dan minuman yang mempunyai warna yang pekat atau sekurang-kurangnya berkumur-kumur dengan segera untuk mengelakkan warna itu melekat pada permukaan gigi.

Biskut raya seperti tart nenas dan ‘almond london’ merupakan antara pilihan biskut hari raya yang disukai ramai. Namun, kandungan gula yang tinggi di dalam makanan ini boleh menyebabkan risiko gigi berlubang atau karies jika penjagaan kebersihan gigi diabaikan. Plak gigi yang mengandungi banyak bakteria akan menghasilkan lebih banyak asid apabila keadaan persekitaran mulut dipenuhi dengan makanan atau minuman yang manis. Selain daripada risiko gigi berlubang, penyakit gusi (gusi akan menjadi radang dan kemerahan) boleh terjadi jika plak gigi tidak dibersihkan dan dibiarkan lama di dalam mulut.

Tindak balas bakteria di dalam plak bersama makanan yang manis boleh menghasilkan bahan bahan toksik yang menyebabkan gusi cepat berdarah apabila tersentuh. Pengumpulan plak yang banyak didalam persekitaran mulut juga boleh menyebabkan nafas kita berbau atau halitosis. Makanan yang ranggup dan agak keras seperti kerepek pisang, muruku dan kacang sangat enak dimakan ketika berkunjung dari rumah ke rumah atau sambil menonton rancangan istimewa di Hari Raya. Namun, awas! Makanan seperti ini jika diamalkan selalu boleh mengakibatkan gigi haus dan menjadi lebih sensitif atau risiko untuk gigi menjadi retak. Bergantung kepada tahap keretakkan gigi, kadang-kadang ianya boleh membawa keadaan dimana gigi terbelah dua dan tidak boleh diselamatkan lagi lalu terpaksa dicabut.

Pada pemakai pendakap gigi (braces) dan gigi palsu (denture), makanan jenis ini perlu dijauhi. Makanan ini boleh menyebabkan kerosakan kepada gigi palsu dan pendakap gigi samada pecah atau pelekat pendakap gigi itu tercabut. Ini boleh menyebabkan komponen gigi palsu atau pendakap gigi menjadi tajam dan mencederakan bibir atau lidah. Pengguna pendakap gigi dan gigi palsu tidak digalakkan untuk memakan makanan yang melekit seperti dodol untuk mengelakkan makanan itu melekat ke permukaan gigi palsu dan pendakap gigi.

Selain daripada itu, minum air berkarbonat boleh menghakis struktur luar permukaan gigi. Kekerapan mengambil minuman berasid ini boleh menyebabkan permukaan gigi menjadi nipis dan gigi boleh menjadi rapuh dan ngilu. Oleh itu, makan dan minumlah di bulan Syawal ini dengan penuh kesederhanaan seperti yang dianjurkan didalam Islam. Kesederhanaan ada disebut di dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud ”Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan”. Sentiasalah menjaga kebersihan gigi walaupun di waktu perayaan.

OLEH: Prof Madya Dr Asma Alhusna Abang Abdullah
Pensyarah Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia.
dan
Prof Madya Dr Azrul Hafiz Abdul Aziz
Pensyarah Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia