Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Petani, Penternak dan Nelayan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Rakyat negara ini dinasihatkan terus berhati-hati walapun prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-29 akan dilonggarkan bermula 1 Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tetap menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka walaupun di kawasan terbuka jika terdedah kepada suasana bersesak antara satu sama lain.

Menurut beliau, suasana itu akan dilihat ketika aktiviti ziarah kubur pada Aidilfitri nanti yang melibatkan ahli keluarga yang ramai.

“Tiada lagi mandatori pakai pelitup muka di kawasan terbuka, maknanya hari raya nanti untuk menziarahi kubur misalnya tidak perlu pakai pelitup muka lagi kecuali di tempat tertutup di bawah Akta 342

“Walaupun kelonggaran diberi kita masih menggalakkan rakyat berhati-hati walaupun kebebasan diberikan tidak bermakna lagi kita tidak melakukan kawalan kendiri untuk melindungi keluarga dan diri kita.

“Walaupun bebas di kawasan terbuka tapi jika berlaku kesesakan kita galak pakai walaupun tidak menjadi kesalahan untuk jaga keselamatan diri.

“Saya percaya melawat kubur nanti ramai yang hadir terutama ahli keluarga dan suasana berhimpit tidak salah dan tidak wajib penjarakan sosial.

“Solat sunat Aidilfitri juga tiada halangan tapi wajib pakai pelitup muka kerana Covid-19 masih ada di sekeliling kita dan rakyat kena hidup dengan virus itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis berbuka puasa bersama warga petani, penternak dan nelayan di kediaman rasminyan di Seri Perdana di sini malam ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini yany memutuskan pemakaian pelitup muka di luar bangunan (outdoor), tidak lagi diwajibkan bermula 1 Mei ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan (optional) tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan.

Namun, Khairy berkata, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk eHailing. – MalaysiaGazette