Angah Sunan (kanan) menyampaikan duit raya kepada anak asnaf dan anak yatim.

SUBANG JAYA – Sekretariat Srikandi Ekonomi Watan meraikan 220 ahli keluarga golongan asnaf dan anak yatim sebagai persediaan untuk mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sumbangan menerusi program ‘Tajaan Raya Sama-Sama Kitakan Keluarga’ itu diadakan dengan kerjasama Muafakat Komuniti Cinta Watan di sebuah pasar raya borong di sini, semalam.

Selain membeli pakaian, mereka turut diberikan sumbangan duit raya dan Bakul Kasih Aidilfitri dalam program itu.

Sumbangan disampaikan Penasihat Sekretariat Srikandi Ekonomi Watan, Angah Sunan selaku wakil Muafakat Komuniti Cinta Watan.

Sebelum ini, 32 keluarga komuniti dari Lembah Klang diraikan dan selepas ini, program dilangsungkan di beberapa negeri sehingga akhir minggu ini.

Menurut Angah, program itu diadakan sempena mengambil keberkatan 10 malam terakhir Ramadan.

Sebahagian daripada ahli keluarga komuniti, asnaf dan anak yatim yang diraikan dalam program Raya Sama-Sama, Kitakan Keluarga.

“Selain memperbanyakkan selawat dan sedekah, kita turut melaksanakan ibadah kebajikan seperti program ‘Raya Sama-Sama, Kitakan Keluarga’ yang bertepatan dengan jalan menggapai kecintaan Allah dan Rasulullah SAW.

“Pesan guru Walid Ibrahim Al-Malik, ibadah memberi kegembiraan kepada orang lain lebih dicintai Allah daripada ibadah memberi kegembiraan kepada diri sendiri.

“Semakin kita memberi kegembiraan kepada orang lain, semakin Allah mencintai kita,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, program itu melahirkan masyarakat penyayang, cakna dan prihatin serta dapat membentuk masyarakat yang mempunyai jati diri tinggi dengan nilai cinta dan kasih sayang.

Masyarakat, kata beliau, perlu bangkit mandiri dan peduli sesama sendiri tanpa mengharapkan pertolongan dari mana-mana pihak.

“Dari komuniti untuk komuniti, sebagai manifestasi kebersamaan kita dalam komuniti menguatkan cinta dan mahabbah kekeluargaan.

“Oleh itu, saudara kita yang berada dalam kesusahan dapat dibantu tanpa menunggu tindakan dari mana-mana pihak tertentu.

“Bagi merancakkan ekonomi watan dalam mendukung kempen Produk Patuh Syariah (PPS), menjadi kewajiban kita peka bahawa produk ini adalah patuh syariah untuk kebaikan rohani, jiwa, minda dan jasmani keluarga serta masyarakat,” katanya.

Angah Sunan (kiri) melihat seorang anak yatim memakai baju raya dalam program Raya Sama-Sama, Kitakan Keluarga di sebuah pasar raya borong, semalam.

Menurut Angah, penting bagi memastikan produk patuh syariah menjadi keutamaan dalam pembelanjaan harian terutama apabila melibatkan barangan makanan dan minuman.

Ini berkaitan dengan pembentukan generasi akan datang yang cergas dan cerdas dalam kepimpinan mengembalikan ketamadunan serta kegemilangan peradaban bangsa.

Kata beliau, Muafakat Komuniti Cinta Watan ialah komuniti yang wujud atas dasar keprihatinan dan persaudaraan dalam membangunankan teras ketauhidan, mahabbah dan kesejahteraan.

Ia katanya, berpandukan cetusan ilham Walid Ibrahim Al-Malik melalui Panduan Cinta Watan demi membangkitkan jiwa bangsa, kekeluargaan, persaudaraan, kepimpinan serta negara berpaksi Islam dan watan.

Beliau berharap, program itu memberi impak dalam membangun jiwa bangsa yang memiliki kekuatan kerohanian dan kasih sayang, saling melengkapi demi memperkuatkan agama, bangsa, rakyat dan negara berasaskan watan. – MalaysiaGazette