KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan XOX Berhad (XOX) telah diumum sebagai pemilik baharu Perak FC berkuatkuasa hari ini.

XOX telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perak FC mengenai pengambilalihan Kelab Bola Sepak dengan proses perundangan yang penuh dan wajar untuk dimuktamadkan.

Perkara itu disahkan oleh Unit Pelesenan Kelab MFL yang mana XOX telah berjaya menyediakan semua dokumen seperti yang diminta oleh MFL pada hari ini yang juga merupakan tarikh akhir.

Jelas MFL, pengurusan tertinggi XOX telah pun bertemu dan berbincang dengan ketua jurulatih dan pembantu jurulatih Perak FC serta dua pemain mengenai komitmen mereka selain turut membincangkan hala tuju pasukan dalam jangka masa pendek dan panjang, isu gaji tertunggak dan juga rancangan selepas sekatan perpindahan ditarik balik.

“MFL percaya kedatangan XOX bukan sahaja menandakan permulaan semula Perak FC yang disokong oleh korporat yang kukuh dan teratur, tetapi sebab yang tepat ini juga menandakan pergerakan positif ke arah kemasukan satu lagi syarikat besar ke dalam pemilikan sesebuah kelab bola sepak di Malaysia.

“MFL yakin bahawa Perak FC kini akan dapat bergerak ke hadapan dengan penuh keyakinan dan sebaik sahaja semua proses pengambilalihan yang begitu besar telah berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette