Turiman Sibon, 34 bersama Norfazilah Ab Rahman, 40 yang menjaga dua beradik anak yatim piatu Siti Nor Hidayu Ramli, 10 dan Muhammad Nor Rahman, 8 yang kehilangan ibu bapanya yang meninggal akibat Covid-19 selepas menerima bantuan pada Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 29 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kehilangan ibu dan ayah pada Julai tahun lalu selepas dijangkiti Covid-19 benar-benar merenggut perasaan dua adik beradik ini.

Siti Nor Hidayu Ramli, 10, dan adiknya Muhammad Nor Rahman, 8, hilang tempat mengadu dan tempat berlindung pada usia yang begitu muda.

Sukar digambarkan bagaimana kedua-duanya perlu menjalani kehidupan pada hari mendatang sebagai yatim piatu.

Berteduh dan menumpang kasih ibu dan bapa saudara yang sudah dianggap sebagai keluarga sendiri, kedua adik beradik ini bersyukur dikurniakan insan-insan yang menyayangi mereka seperti anak sendiri.

Bagi Hidayu, tidak terungkap rasa rindu kepada kedua ibu bapanya dan sudah menjadi rutin mereka berdua membaca surah Al-Fatihah setiap kali rindu bertandang.

“Saya sedekahkan surah Al-Fatihah bila teringat pada arwah ibu dan ayah.

“Saya selalu rindu mereka. Acik Ila (panggilan kepada ibu saudaranya) selalu pesan doakan untuk mereka.

“Selepas solat pun saya akan baca surah al-Fatihah buat mereka berdua,” katanya.

Hidayu dan Rahman tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya sejak November tahun lalu.

Genangan air mata Hidayu saat bercerita akan kerinduan itu menunjukkan anak kecil ini sangat tabah.

Sesekali dikesat air matanya, tidak mahu terus menangis di hadapan kami.

Bagi adiknya Muhammad Nor Rahman yang turut terkesan dengan kehilangan ibu dan bapanya, juga mengakui surah al-Fatihah bagaikan kekuatan untuk mereka melepaskan rasa rindu buat mereka yang sudah tiada.

“Saya doa untuk mereka setiap hari. Saya nak jadi orang berjaya.

“Saya nak belajar pandai-pandai, tak mahu gaduh lagi dengan kakak dan sayang acik Ila dan papa Man,” katanya ringkas.

Turiman Sibon, 34 bersama Norfazilah Ab Rahman, 40 yang menjaga dua beradik anak yatim piatu Siti Nor Hidayu Ramli, 10 dan Muhammad Nor Rahman, 8 yang kehilangan ibu bapanya yang meninggal akibat Covid-19 selepas menerima bantuan pada Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 29 APRIL 2022.

Dalam pada itu, Turiman Sibon, 34, menjalankan amanah yang ditinggalkan arwah adiknya iaitu ibu kepada Hidayu beberapa hari sebelum meninggal dunia.

“Kami hanya dua beradik. Masa arwah di hospital, kami ada buat panggilan video dan dia nyatakan hasrat minta saya jagakan anak-anaknya.

“Saya dan isteri belum dikurniakan cahaya mata, jadi saya anggap ini rezeki dari Allah SWT untuk kami,” katanya.

Jelasnya, Hidayu dan Rahman sememangnya rapat dengannya dan isteri, tambahan rumah mereka berdekatan.

“Dulu mereka berdua memang selalu datang rumah ni, makan dan bermain, isteri saya tempat mereka mengadu segala masalah.

“Kami bersyukur dan akan menjaga amanah arwah adik saya untuk membesarkan mereka,” katanya.

Turiman Sibon, 34 bersama Norfazilah Ab Rahman, 40 yang menjaga dua beradik anak yatim piatu Siti Nor Hidayu Ramli, 10 dan Muhammad Nor Rahman, 8 yang kehilangan ibu bapanya yang meninggal akibat Covid-19 bergambar bersama kakitangan Malaysia Gazette selepas menerima bantuan pada Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 29 APRIL 2022.

Bagi isterinya, Norfazilah Ab Rahman, 40, sejak kehadiran Hidayu dan Rahman tinggal bersama mereka, tidak ada kepayahan yang dirasakan malah seperti membawa sinar baharu dalam kehidupan mereka berdua.

“Bukan mereka yang menumpang sebaliknya kami yang menumpang kasih mereka. Allah hadirkan mereka saat kami masih belum dikurniakan zuriat.

“Tidak ada rasa beban malah merasakan adanya mereka, rezeki keluarga kecil kami semakin baik,” katanya.

Pendapatan bulanan hanya bersandar kepada perniagaan kecil-kecilan menjual keropok lekor selain mengusahakan penghantaran makanan, Norfazilah bersyukur dengan segala rezeki yang ada.

“Kami memang anggap mereka seperti anak sendiri. Mendidik mereka dengan cara ibu bapa yang lain.

“Kalau perlu dimarah, saya akan bertegas, tapi taklah sampai nak mendera,” katanya.

Kini pasangan suami isteri itu akan membuat permohonan rasmi untuk pendaftaran anak angkat terhadap Hidayu dan Rahman.

Terdahulu, kunjungan MalaysiaGazette menerusi program MG Prihatin ke kediaman Tukiman menyampaikan sumbangan keperluan harian dan sumbangan duit raya sempena Aidilfitri kepada keluarga ini.

“Terima kasih di atas sumbangan ini. Tak terbalas segala budi pihak MalaysiaGazette kepada kami sekeluarga,” jelas Tukiman. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bid’ah sesat sedekahkan al-Fatihah kepada arwah sebab sunnahnya anak yang soleh mendoakan Allah mengampuni segala dosa arwah dan mengurniakan syurga kepada arwah.

Comments are closed.