Muhammad Farid Saad

GEORGE TOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa mengkaji aspek positif serta memperkasakan inap desa daripada bercadang mengharamkannya di Pulau Pinang.

Presiden Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang, Datuk Muhammad Farid Saad berkata, inap desa merupakan alternatif penginapan kepada pelancong serta inisiatif menjana ekonomi masyarakat di kampung.

“Inap desa kini mendapat sambutan menggalakan dan menjadi tumpuan penginapan pelancong domestik yang mempunyai keluarga besar atau mencari penginapan murah.

“Jangan berlaku kejam kepada orang kampung yang mencari pendapatan tambahan melalui aktiviti ini (inap desa).

“Sebaliknya, lihat  kesan ekonomi secara keseluruhannya seperti agro, kuih tradisi, kedai makan, kraftangan, pekerjaan dan sebagainya.

“Mungkin pihak kerajaan negeri mendapat aduan daripada penghuni rumah bertingkat yang dijadikan inap desa, namun tidak wajar jika inap desa lain di kampung menerima tempiasnya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, kerajaan negeri menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, Pulau Pinang akan mengharamkan rumah sewa jangka pendek atau inap desa di hartanah bertanah dan bertingkat tidak lama lagi.

Ia sejajar dengan ikrar kerajaan negeri bagi memerangi gangguan yang berpunca daripada pelancong di pangsapuri, kondominium dan kawasan perumahan.

Walaupun tempoh pengharaman itu belum diputuskan, kerajaan negeri sudah bersetuju dengan rancangan berkenaan berdasarkan pelbagai aduan daripada kumpulan penduduk.

Tambah Muhammad Farid, Persatuan Inap Desa Pulau Pinang ditubuhkan pada 2005 dan kini terdapat di sembilan hingga 11 kampung sekitar negeri ini. – MalaysiaGazette