Zuraida Majid, sebak ketika menziarah kubur Khairul Haziq Dinzly Khairuddin di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. Foto MUHD NA'IM, 02 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah kekal selamanya.

Meskipun sudah hampir sebulan pemergian Khairul Haziq Dinzly Khairuddin, 11, jauh di sudut kecil hati seorang ibu, Zuraida Majid amat terkilan apabila usahanya untuk menemukan anak dengan bekas suaminya tidak kesampaian.

Allahyarham Haziq, pesakit ketumbuhan otak menghembuskan nafasnya terakhir pada Ramadan keempat, 6 April lalu selepas lima tahun bertarung dengan penyakitnya.

Walaupun redha dengan kehilangan anak yang dikandung sembilan bulan, namun Zuraida kecewa apabila satu-satunya impian anaknya untuk menatap dan memeluk ayahnya tidak kesampaian.

“Saya ada maklumkan pada ayah kandung arwah dan semua keluarga sebelah sana. Saya kata Haziq nazak dan mohon ihsan mereka datang buat kali terakhir. Ayah kandung arwah balas mesej saya dengan berkata ” jangan sibuk hal aku.

“Terkilan memang ada tapi saya pujuk Haziq minta dia maafkan mereka semua, jangan ada simpan dendam pada mereka sekeluarga. Kita tidak boleh nak buat apa-apa, sebab itu antara dia dan Allah. Jangan hukum mereka,” luah Zuraida dengan linangan air mata.

 

Zuraida Majid

Zuraida berkata, tahap kesihatan arwah kian merosot sejak Ogos tahun lalu hingga ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU)  di Pusat Perubatan Parkcity.

Sebagai seorang ibu yang setiap saat melihat kesakitan dan penderitaan yang ditanggung Haziq, dia redha dengan pemergian anak kesayangannya yang menghembuskan nafas terakhir di sisinya.

Menurut ibu ini, sejak 1 Mac lalu, arwah dah mula tidak bermaya, makan pun tidak mahu, memang dah lembik sangat sampaikan adik-beradik lain nak main dengan dia pun tiada tindak balas macam biasa.

Haziq dah tak senyum, suapkan makan pun dia geleng kepala. Kemudian pada 19 Mac ketika hari jadi saya, kami bawa dia berjalan-jalan pergi ke Ipoh tapi waktu itu keadaan dia pun dah lain. Tiba-tiba Haziq berubah jadi pucat. Saya segera telefon doktor.

”Situasi itu buatkan saya perlu bersedia bahawa Haziq akan ‘pergi’,” kata Zuraida dengan esakan.

Zuraida berkata, Allah benar-benar mengujinya ketika melihat Haziq sepanjang dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana dia perlu melihat atau menunggu saat kematian anak sendiri.

“Ia mendebarkan. Pelbagai soalan membelengu fikiran saya bahawa betul ke anak aku nak mati apatah lagi mulut kecil Haziq semakin sepi daripada panggilan ‘mama’

”Saya bisik padanya, mama redha dan ikhlas lepaskan abang pergi. Abang tunggu je mama dipintu syurga sebab mama ada tanggungjawab lagi.

Zuraida Majid menunjukkan borang maklumat arwah Khairul Haziq Dinzly Khairuddin, yang menghidap penyakit tumor otak.Foto MUHD NA’IM, 02 MEI 2022.

”Selang berapa hari tu, saya lihat dia macam ada kahak tapi jururawat kata itu petanda dia ingin meninggal dunia. Mereka minta saya bersedia dan segera telefon sedara. Masa itu saya rasa sebak sangat,” katanya yang mengingati saat-saat terakhir bersama anak kesayangannya.

Zuraida tidak henti memanjatkan rasa syukur kerana Allah memakbulkan doanya agar Haziq ‘pergi’ dalam dakapannya.

“Sewaktu arwah nazak, saya bacakan syahadah di sisinya dan tepat pada jam 9.33 pagi arwah menghembuskan nafas terakhir. Terima kasih pada Allah sebab makbulkan doa saya selama ini.

“Alhamdulillah perjalanan akhir Haziq lancar. Aturan Allah itu amat cantik,” ujarnya sambil mengesat air mata.

Zuraida berkata, sehingga hari ini setiap memori akhir bersama-sama Haziq masih segar dalam ingatannya.

Tanpa Haziq di pagi Aidilfitri, jiwa ibu ini ternyata kosong namun doanya tidak putus buat anaknya agar ‘tenang’ di sana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast