Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech kepada pelajar sekolah dalam program vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Management and Science University (MSU), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR,  3 Mei (Bernama) — Sebanyak 868,859 atau 24.5 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia telah melengkapkan vaksinasi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, sebanyak 1,536,766 atau 43.3 peratus kanak-kanak dalam kumpulan sama telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,894,533 atau 93 peratus telah lengkap vaksinasi manakala 2,992,178 atau 96.1 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 16,035,520 atau 68.2 peratus golongan dewasa telah menerima dos penggalak manakala 22,967,185 atau 97.6 peratus telah lengkap dua dos dan 23,243,448 (98.8 peratus) sekurang-kuranya menerima satu dos vaksin.

Sebanyak 12,380 dos vaksin COVID-19 harian diberikan semalam melibatkan 1,847 dos pertama, dos kedua (10,015) dan dos penggalak (518), menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,325,128.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, lima kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan tiga kes dilaporkan di Selangor manakala masing-masing satu di Sarawak dan Perak. – MalaysiaGazette