KUALA LUMPUR – Fungsi MySejahtera dipertingkat dengan aplikasi pengesanan Covid-19  kini turut memaparkan kes penyakit berjangkit lain seperti denggi, anjing gila (rabies) dan demam campak (measles).

Aplikasi turut memaparkan butang ‘infectious disease tracker‘ iaitu kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Kes-kes yang dipaparkan berlaku dalam radius 200 meter hingga lima kilometer daripada lokasi aplikasi itu dibuka dengan kes yang dilaporkan berlaku antara tujuh hingga 25 hari.

Ciri terbaharu itu akan dipaparkan selepas pengguna mengemaskini MySejahtera masing-masing.

Dalam ciapan di Twitter, selain memberitahu ciri terbaharu tersebut, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menasihatkan rakyat agar terus menggunakan pelitup muka di tempat tertutup atau sesak.

Menurutnya, langkah itu bagi mengelakkan individu daripada dijangkiti COVID-19 atau menjangkiti virus itu antara satu sama lain.

“Saya berharap sambutan Aidilfitri anda ceria pada hari raya kedua. Terus pakai pelitup muka di kawasan tertutup atau sesak.

“Jika bergejala buat ujian kendiri dan lapor di aplikasi MySejahtera (MySj).

Update terkini MySJ memperkenalkan ciri baharu. Boleh tengok penyakit berjangkit seperti HFMD,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkongsi beberapa gambar yang memperlihatkan beliau menemui petugas kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang bertugas pada cuti raya Aidilfitri.

Ahli Parlimen Rembau itu menzahirkan penghargaan kepada kakitangan bertugas yang berdedikasi serta melakukan pengorbanan luar biasa demi kesejahteraan rakyat.

Selain itu, beliau turut berkesempatan melawat kanak-kanak yang sedang dirawat di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur sempena dengan Aidilfitri.

“Semoga mereka cepat sembuh dan sihat sejahtera semula,” tulisnya pada keterangan gambar. – MalaysiaGazzete