Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Aktivis Haris Ibrahim bersama-sama dua peguam hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Dua peguam itu ialah Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai.

Saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa suruhanjaya itu tidak berhak menyiasat para hakim melainkan mereka telah digantung atau dilucutkan jawatan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

MalaysiaGazette difahamkan antara pengisytiharan yang dimohon oleh ketiga-tiga plaintif membabitkan siasatan SPRM terhadap Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Selain itu, pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan prosiding ke atas hakim yang sedang berkhidmat.

Dalam penyataan peguam cara mereka, Tetuan Malik Imtiaz Sarwar memfailkan permohonan untuk merujuk dua soalan perlembagaan berhubung relif yang dipohon ke Mahkamah Persekutuan.

Mereka mendakwa, siasatan itu melanggar cabang eksekutif berhubung kebebasan badan kehakiman dan pengasingan kuasa dan ia telah memberi kesan kepada rakyat di negara ini.

“Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap seorang mendapat akses kepada keadilan ditadbir badan kehakiman yang bebas daripada segala bentuk campur tangan,” katanya.

Baru-baru ini, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin bahawa terdapat sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaun beliau.

Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

Bagaimanapun, pada 28 April lalu, SPRM menegaskan agensi itu berhak menyiasat mana-mana pegawai badan awam setelah laporan atau aduan rasmi dibuat.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, agensi itu diberikan kuasa untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta berkenaan. – MalaysiaGazette