Atlet karate pekak negara, V. Yilamaran menunjukkan pingatnya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas memenangi pingat perak dalam acara karate kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) di temasya sukan Deaflympic 2021 di Brazil di Sepang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 07 MEI 2022.

SEPANG – Pemenang pingat perak acara karate Sukan Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul, Brazil, V. Yilamaran menyasarkan pingat emas pada temasya yang sama di Tokyo pada 2025.

Kata atlet berusia 22 tahun itu, ia merupakan azam beliau untuk mengubati kegagalan merangkul emas pada temasya baru-baru ini.

“Saya telah berusaha untuk mendapatkan emas sebelum ke Brazil dan cuba bersaing menentang atlet Ukraine tetapi tidak berjaya.

“Bagaimanapun saya tidak berputus asa dan akan terus berazam untuk mendapatkan (pingat) emas di Tokyo nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Yilamaran bersama jurulatihnya Chok Kong Yu dan pengurus pasukan karate, Chan Kok Sheng disambut Penasihat Persatuan Sukan Orang Pekak (MS Deaf) Malaysia, Datuk Naim Mohamad.

Ditanya apa menyuntik semangatnya untuk menyumbangkan pingat perak kepada negara, pelajar Politeknik Ibrahim Sultan Pasir Gudang Johor itu berkata, dia terhutang budi kepada ibu bapanya yang menjadi pendorong untuk menceburi sukan karate selain jurulatih kerana membimbingnya sehingga berjaya menaiki podium.

Dalam pada itu Naim mengharapkan kejayaan luar biasa atlet pekak negara yang melakar sejarah merangkul pingat di pentas dunia menerusi Yilamaran dapat mendorong kerajaan menghulurkan bantuan kewangan dan fasiliti bagi kemajuan sukan pada masa depan.

Penasihat MSDeaf, Datuk Naim Mohamad (kanan) bercakap kepada media bersama atlet karate pekak negara, V. Yilamaran ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas memenangi pingat perak dalam acara karate kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) di temasya sukan Deaflympic 2021 di Brazil di Sepang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 07 MEI 2022.

Menurut beliau, Yilamaran merupakan antara 11 atlet pekak negara yang mengambil bahagian dalam acara karate, badminton, boling, basikal, bola sepak pada temasya tersebut.

“Yilamaran patut rasa bangga atas kejayaannya di peringkat dunia dan kita juga mengharapkan Yilamaran teruskan semangat ini dan merangkul emas pada Deaflimpik di Tokyo nanti,” ujarnya.

Beliau pada masa yang sama beliau mengakui Persatuan MS Deaf ini masih bertatih walaupun telah wujud beberapa tahun lalu mahu melihat kejayaan atlet pekak mereka dalam sukan dan mereka (atlet pekak) telah berhempas pulas membuktikan mereka juga mampu berjaya.yang lebih banyak pada masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast