Anggota polis memeriksa kenderaan ketika sekatan jalan raya yang dijalankan pada Ops Selamat 18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL. 08 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Anggota-anggota polis akan ditempatkan di pintu-pintu masuk ke ibu negara bagi memastikan aliran trafik lancar susulan orang ramai kembali pulang daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Sallh beerkata, pasukannya akan diletakkan di pintu masuk dari utara, selatan dan pantai timur.

“Kami mahu memastikan mereka pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan selamat,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Op Selamat di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di sini, awal pagi tadi.

Operasi di sekitar ibu negara awal pagi tadi itu melibatkan lima sekatan lalu lintas di  Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Jalan Genting Klang, Jalan Duta Kiara dan Jalan Klang Lama.

Anggota polis memeriksa lesen penunggang motosikal di sekatan jalan raya pada Ops Selamat 18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL. 08 MEI 2022.

Operasi itu juga bagi mengesan pemandu mabuk.

Jelasnya, dua kesalahan utama yang dikesan sepanjang operasi berkenaan adalah bunyi ekzos yang diubah suai dan penggunaan nombor plat kenderaan yang ‘fancy’.

Polis juga menahan seorang penunggang motosikal di Jalan Loke Yew selepas lelaki berusia 45 tahun itu didapati memiliki dadah jenis metamfetamin.

Sebuah kereta ditahan dalam Ops Selamat 18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL. 08 MEI 2022.

Lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu juga tidak mempunyai lesen memandu dan telah diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut di bawah kesalahan narkotik, katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna trafik dapat mematuhi undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan warga kota terjamin. – MalaysiaGazette