PUTRAJAYA – Majlis Rumah terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Laman Sari, Seri Perdana hari ini menerima lebih 100,000 pengunjung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, majlis rumah terbuka itu telah mendapat sambutan di luar jangka yang mana sasaran awal hanyalah 70,000 pengunjung.
Katanya, meskipun program sepatutnya bermula pukul 10 pagi namun, kehadiran pengunjung yang terlalu ramai sejak pukul 9 pagi, penganjur membenarkan mereka masuk setengah jam lebih awal.
“Inilah yang digambarkan dengan kehadiran yang begini ramai pengunjung pelbagai kaum menunjukkan Malaysia sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia seperti yang diidam-idamkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, perdana menteri turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas-petugas yang menjayakan majlis hari ini termasuk pengamal media yang telah menghebahkan program berkenaan sejak dua minggu lepas.
Katanya, hebahan yang dibuat oleh pihak media membolehkan kehadiran ramai pengunjung hingga majlis terpaksa dilanjutkan hingga jaml 6 petang.
“Saya nak ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pengunjung yang datang hari ini.
“Saya juga ingin ucap terima kasih kepada petugas yang menyediakan makanan dan menyambut tetamu.
“Alhamdulillah…terima kasih juga kepada media semua kerana menghebahkan rumah terbuka ini satu dua minggu sebelum ini…ini sebenarnya merupakan punca orang ramai tahu tentang semua ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette