Kredit: Jabatan Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU – Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) hari ini diterima masuk sebagai parti komponen baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata keputusan berkenaan diputuskan mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikannya hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata permohonan sama daripada tiga parti lagi iaitu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP), dan Parti Cinta Sabah (PCS) buat masa ini masih belum diputuskan.

“Kita amat menghargai permohonan mereka (KDM, LDP dan PCS) untuk sertai GRS, namun kita secara konsensus berpendapat perlukan sedikit masa untuk berinteraksi dan tingkatkan persefahaman, kita perlu kenal antara satu sama lain dengan lebih baik dahulu.

“Permohonan mereka diterima satu dua bulan yang lepas, tetapi rasionalnya kita terima USNO kerana memohon lebih setahun lalu, bagaimanapun kita juga akan libatkan KDM, LDP dan PCS dalam aktiviti GRS nanti,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee.

GRS yang didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi Mac lepas dianggotai Bersatu Sabah, PBS, STAR, SAPP dan terbaharu USNO hari ini.

Ditanya mengenai kerjasama dengan PN, Hajiji secara ringkas berkata tumpuan buat masa ini adalah untuk memantapkan kerjasama antara parti komponen GRS.

Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Tertinggi GRS juga bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa kerjasama solidariti antara GRS dan Barisan Nasional (BN), yang pada masa ini menjalin kerjasama erat dalam Kerajaan Sabah.

“Tujuan kita adalah untuk satukan parti-parti dalam GRS dan BN ini supaya kita menghadapi pilihan raya parlimen ini (Pilihan Raya Umum Ke-15) secara bersama-sama, kalau boleh tiada pertembungan antara GRS dan BN,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata GRS akan dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, 26 Mei depan.- BERNAMA