Hantaran Wan Emir di Instagram mengenai berita Mira Filzah selamat bersalin.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Mira Filzah selamat melahirkan cahaya mata lelaki pagi ini.

Berita itu disampaikan suaminya Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar.

“Isteri syurgaku telah selamat melahirkan putera sulung kami pada tarikh seperti ibunya iaitu pada 9 Syawal bersamaan 10 Mei 2022 pada jam 3.40 pagi.

“Putera kami yang bergema nyaring tangisannya berada dalam keadaan sihat di samping ibunya yang juga sihat,” katanya menerusi Instagramnya hari ini.

Wan Emir turut berterima kasih di atas doa buat kesihatan Mira sepanjang tempoh kehamilannya hingga bersalin.

“Doakan perjalanan kami sebagai ibu bapa untuk meneruskan kehidupan yang sementara ini,” tulisnya lagi.

Mira Filzah seorang pelakon popular mula mencipta nama menerusi drama Cinta Si Wedding Planner bergandingan bersama Datuk Ady Putra dan terus mengorak langkah dengan pelbagai drama hingga dipilih menjadi pengacara program Nona.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020. -MalaysiaGazette