Pingat emas, perak dan gangsa yang dimenangi atlet badminton pekak negara di Deaflympic 2021 di Brazil hari ini.Kredit foto: MS Deaf Malaysia

KUALA LUMPUR – Pasangan bergu Wanita badminton pekak negara, Boon Wei Ying dan Foo Zu Tung memahat sejarah negara dengan meraih pingat emas pertama untuk Malaysia petang tadi di Sukan Deaflympic ke-24 di Sau Paolo, Brazil.

Wirawati pekak negara ini turun ke gelanggang pertandingan dengan berbekalkan pengalaman mereka berganding di Deaflympic Games ke-23 di Turki 2017 dan bermain dengan cukup cemerlang pada hari ini.

Aksi bersejarah pasangan bergu campuran Badminton Pekak Negara yanag menyumbang kilauan perak pada Deaflympic ke-24 2021 di Brazil kali ini. Kredit foto MS Deaf Malaysia

Mereka berjaya menewaskan gandingan bergu ranking nombor satu Pekak dunia Jung-Yu Fan/Yan-Ru Shen yang juga pemenang Perak Deaflympic Games Turki dalam rubber set 21-14, 5-21, 21-18.

Kemenangan bersejarah itu menamatkan penantian selama 21 tahun kemarau pingat emas di Sukan Deaflympic setelah Zana Azizul Ujang mendapatkan pingat emas di Sukan Deaflympic, Rom Itali pada tahun 2001.

kecemerlangan beregu wanita menyumbang kilauan emas dalam Deaflympic Brazil hari ini. Kredit: MS Deaf Malaysia

Dalam pada itu satu lagi pasangan badminton pekak negara gandingan Boon Wei Ying/Edmund Teo Seng Keong turut membuat kejutan dalam temasya kali ini dalam acara bergu campuran dengan mendapat pingat Perak untuk negara.

Mereka yang bersaing dengan pasangan Abhinav Sharma/Jevlin Jayaratchagan dari India tunduk kepada mereka dalam aksi straight set 14-21,7-21 pada perlawanan akhir yang berlangsung semalam.

Boon Wei Ying juga berjaya mendapatkan pingat gangsa buat negara setelah tunduk kepada Jevlin Jayaratchagan di separuh akhir tapi untuk perebutan pingat gangsa Boon Wei Ying menang percuma selepas kem kontinjen Jepun telah dikuarantin kerana jangkitan Covid-19.

Ketua jurulatih badminton negara, Sabrina Chong ternyata paling gembira dan berpuas hati dengan pencapaian anak-anak didiknya menghadiahkan tiga pingat buat negara dan pencapaian ini dianggap suatu yang cemerlang. – MalaysiaGazette