KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka menunjukkan prestasi lebih baik dalam bulan akan datang berbanding tahun lalu dengan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April 2022.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pembukaan semula sempadan akan meningkatkan komponen perjalanan dan seterusnya memulihkan sektor perkhidmatan.
Ini juga dijangka memberi kesan langsung kepada pengangkutan, terutamanya dalam bentuk terimaan lebih tinggi daripada penumpang udara.
Dalam pada itu, Jabatan Statistik berkata, imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia terus merekodkan lebihan RM3.0 bilion pada suku tahun pertama 2022 berbanding RM15.3 bilion pada suku sebelumnya. Akaun kewangan merekodkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM30.4 bilion.
Lebihan akaun semasa pada suku tahun pertama tahun 2022 didorong oleh eksport bersih barangan.
Akaun barangan mencatatkan eksport bersih sebanyak RM40.5 bilion berbanding RM51.8 bilion pada suku keempat tahun lepas.
Eksport barangan mencatatkan RM268.9 bilion berbanding RM271.3 bilion pada suku sebelumnya.
Eksport utama adalah elektrik & elektronik (E&E), produk berasaskan petroleum dan minyak sawit;terutamanya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, import barangan meningkat 4.0 peratus daripada suku sebelumnya kepada RM228.4 bilion. Import yang lebih tinggi diterajui oleh barangan perantaraan dan penggunaan telah diimport terutamanya dari China, Singapura dan Taiwan.
Melihat kepada prestasi perdagangan perkhidmatan, Mohd Uzir menambah, eksport perkhidmatan dilihat berkembang lebih cepat daripada import.
Hasilnya, akaun ini mencatatkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM15.0 bilion pada suku tahun pertama 2022 berbanding defisit sebanyak RM15.4 bilion suku sebelumnya, disokong oleh terimaan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat serta bayaran yang lebih rendah pada perkhidmatan perniagaan lain.
Berdasarkan perbandingan suku ke suku, eksport perkhidmatan meningkat 2.2 peratus kepada RM24.0 bilion, manakala import meningkat sedikit 0.2 peratus kepada RM39.0 bilion.
Penyumbang utama kepada eksport perkhidmatan pada suku ini ialah perkhidmatan pembuatan bagi input fizikal yang dimiliki oleh pihak lain, penyelenggaraan dan pembaikan; dan perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat.
Komponen perkhidmatan yang menyumbang kepada import yang lebih tinggi ialah pengangkutan, pembinaan dan perjalanan.
Walau bagaimanapun, defisit dalam akaun pPerkhidmatan kekal tinggi sejak suku tahun kedua 2020, disebabkan oleh perjalanan teruk dilanda pandemik.
Sepanjang Januari hingga Mac 2022, penduduk Malaysia membelanjakan sebanyak RM4.2 bilion di luar negara, lebih tinggi daripada RM0.2 bilion yang dibelanjakan oleh pelawat asing di Malaysia, menyebabkan Perjalanan mencatatkan defisit sebanyak RM4.0 bilion.
Tambahan itu, pengangkutan mencatatkan defisit yang lebih tinggi RM9.2 bilion disebabkan oleh peningkatan bayaran bagi aktiviti muatan, selari dengan import barangan.
Sebaliknya, akaun pendapatan primer mencatatkan defisit sebanyak RM20.1 bilion berbanding RM19.6 bilion pada suku sebelumnya.
Pada suku tahun pertama 2022, syarikat asing di Malaysia menjana pendapatan RM35.5 bilion berbanding RM56.9 bilion suku lepas, terutamanya melalui pelaburan langsung.
Mohd Uzir berkata, akaun kewangan mencatatkan aliran masuk bersih RM30.4 bilion pada suku ini berbanding RM0.7 bilion pada suku sebelumnya disumbangkan oleh pelaburan lain yang berubah arah kepada aliran masuk bersih RM19.6 bilion daripada aliran keluar bersih RM10.6 bilion pada suku sebelumnya disebabkan pinjaman antara bank yang lebih
tinggi dengan institusi kewangan di luar negara.
Tambahan pula, aliran masuk bersih sebanyak RM20.8 bilion dalam pelaburan langsung disumbangkan oleh penyelesaian
eksport dan hutang lebih tinggi dari luar negara yang turut menyebabkan aliran masuk di dalam akaun kewangan.
Dari segi pelaburan, pelaburan langsung asing (FDI) berkembang sebanyak RM5.9 bilion untuk mencatatkan aliran masuk bersih RM24.4 bilion pada suku pertama disumbangkan melalui penyelesaian kredit perdagangan oleh affiliate di luar negara dan diikuti dengan suntikan ekuiti.
Sektor pembuatan kekal menjadi tarikan utama pelabur asing di Malaysia, diikuti oleh perkhidmatan terutamanya di dalam aktiviti kewangan dan perdagangan borong & runcit.
Pada masa yang sama, pelaburan langsung luar negeri (DIA) merekodkan aliran keluar bersih yang lebih rendah pada RM3.6 bilion berbanding RM7.9 bilion pada suku sebelumnya, disebabkan oleh aliran masuk yang lebih tinggi dalam instrumen hutang.
Penyumbang utama kepada aliran keluar adalah perkhidmatan, terutamanya dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor pembuatan dan pertanian.
Pada akhir suku tahun pertama 2022, kedudukan FDI merekodkan RM812.1 bilion, manakala kedudukan DIA adalah RM551.7 bilion.
Kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) Malaysia merekodkan kedudukan aset bersih yang lebih rendah RM47.3 bilion berbanding RM84.9 bilion pada suku sebelumnya.
Rizab antarabangsa berada pada RM485.8 bilion berbanding RM486.8 bilion pada suku akhir tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette