PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana promosi program Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri kesembilan itu hadir di ibu pejabat SPRM pada jam 11 pagi dan proses rakaman keterangan berlangsung tujuh jam sebelum beliau dilihat meninggalkan premis tersebut pada jam 6.11 petang.
Ketika melewati pintu keluar, Ismail Sabri sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang berkumpul di situ sejak awal pagi tadi.
Menurut sumber, Ahli Parlimen Bera itu dijangka hadir semula ke pejabat SPRM esok bagi meneruskan rakaman percakapan pada jam 3 petang.
Difahamkan, siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan publisiti ketika pentadbiran Ismail Sabri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes berkenaan disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Sebelum ini, SPRM dilaporkan menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, selain 16 kilogram jongkong emas dianggarkan bernilai RM7 juta. – MalaysiaGazette