Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MoT) memberi jaminan bahawa harga tambang Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) amat berpatutan dan mesra rakyat kerana kadarnya setara dengan perkhidmatan kereta api sedia ada yang dikawal selia oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, jaminan itu bersandarkan fakta dan realiti projek berkenaan.

ECRL juga mampu menjana trafik penumpang dan kargo yang tinggi memandangkan jajaran projek itu melalui kawasan industri berat dan hab pembuatan yang dihubungkan dengan pelabuhan-pelabuhan utama negara.

Perkara ini  telah dikaji oleh perunding bertauliah yang mempunyai kepakaran  mengumpul data dan menjalankan kajian bagi merumuskannya.

Selain itu, perkhidmatan penumpang juga turut menunjukkan permintaan yang tinggi memandangkan jajaran yang melalui bandar-bandar utama di Pantai Timur.

”Maka, ECRL akan dapat menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih baik di samping kos yang berpatutan kepada penduduk khususnya di Pantai Timur,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas mengenai landasan trek tunggal ECRL, Ka Siong berkata, keputusan ini dibuat pada tahun 2019 semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan.

Untuk makluman, perunding pembinaan projek ECRL telah merumuskan landasan trek tunggal memadai untuk unjuran trafik muatan kargo dan penumpang ECRL sekurang-kurangnya dalam 10 tahun pertama operasinya.

Malah, pembinaan sembilan passing loop di sepanjang jajaran ECRL akan membolehkan pengendalian tren dua-hala di antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

Mengenai sumber pendapatan pula, beliau berkata, MRL giat merangka dan melaksanakan pelan jangka panjang untuk menjana pendapatan yang mencukupi bagi menampung kos operasi syarikat.

Sebarang keuntungan dari operasi tren dan perniagaan sampingan MRL akan dapat digunakan untuk membayar balik sebahagian daripada tanggungan pinjaman projek ECRL.

”Manfaat yang mampu dijana oleh projek ECRL ialah melalui value-capture keseluruhan projek ini iaitu pembangunan ekonomi yang pesat di negeri-negeri Pantai Timur apabila kemudahan rel disediakan dan kos pengangkutan kargo dari dan ke Pantai Timur menurun sehingga 40% – 50%.

”Ini akan meningkatkan daya saing negeri-negeri Pantai Timur dan mewujudkan lebih banyak industri baharu yang dijangka menjana pendapatan melalui cukai-cukai kepada Kerajaan seterusnya dikembalikan kepada rakyat.

“Apakah pihak pembangkang mahu menafikan peluang ini kepada negeri-negeri Pantai Timur? Adakah sumber pendapatan dan limpahan ekonomi ini diklasifikasikan sebagai satu bentuk ‘penindasan’ dalam pemikiran pemimpin pembangkang?,” soal beliau. – MalaysiaGazette