Pegawai KPDNHEP Johor meneliti tanda harga yang diletakan peniaga bagi memastikan ia mematuhi peraturan yang ditetapkan.

JOHOR BAHRU – Sebanyak RM100,800 kompaun  terhadap peruncit dan pemborong kerana tidak mematuhi Penentuan Harga Maksimum (PHM) ayam dan telur sejak dikuatkuasakan pada 5 Februari 2022 hingga hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Khairul Bohro berkata, antara kesalahan dilakukan adalah tidak meletak tanda harga, menjual melebihi harga kawalan dan tidak guna papan tanda harga warna merah jambu.

“KPDNHEP Johor telah melakukan 4,037 pemeriksaan meliputi 3,974 pemeriksaan di peringkat peruncit, 53 pemeriksaan di peringkat pemborong dan 10 pemeriksaan di peringkat peladang sepanjang tempoh itu.

“Sebanyak 118 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan jumlah kompaun RM100,800 telah dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, KPDNHEP Johor melakukan sebanyak 586 pemeriksaan semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan HRP 2022.

Ianya meliputi 581 pemeriksaan di peringkat peruncit dan lima  pemborong.

“Sebanyak 18 kes telah dihasilkan di bawah AKHAP 2011 dengan jumlah kompaun sebanyak RM2,200 telah dikenakan,” katanya.

Mohd Khairul berkata, langkah menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga.

Ini termasuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 bagi mewajibkan peniaga meletak tanda harga ke atas barangan yang dijual.

Sementara Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi mengawal harga barang keperluan semasa musim-musim perayaan utama dalam negara,” katanya. -MalaysiaGazette