Kompleks Muzium Samudera merangkumi Kapal Flor de la Mar, Muzium Samudera Fasa 2, Muzium TLDM dan KD Seri Trengganu turut menyaksikan kenaikan harga tiket antara RM2 hingga RM8 bermula 1 Jun ini.

MELAKA – Tiket masuk ke muzium di negeri ini akan dinaikkan antara RM2 hingga RM10 buat warganegara dan pelancong asing bermula 1 Jun ini.

Kenaikan antara 66 hingga 100 peratus itu turut dimaklumkan Muzium & Galeri Melaka dalam satu kenyataan dan poster melalui Facebook rasminya.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, kenaikan itu melibatkan lima jenis muzium iaitu Kompleks Muzium Melaka, Kompleks Muzium Samudera, Perkampungan Hang Tuah, Muzium Kesultanan Melaka dan Muzium Kapal Selam.

“Penyelarasan harga ini adalah selari dengan penambahbaikan yang akan dilakukan bagi memastikan sektor permuziuman Melaka berada ditahap terbaik sebagai sektor pendidikan dan pelancongan bertaraf dunia.

“Ia termasuklah bagi mengumpul, memulihara dan menyalurkan maklumat atau bahan secara profesional yang berkualiti untuk rujukan generasi hari ini dan masa depan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini hari ini.

Muzium Kesultanan Melaka mengalami kenaikan harga tiket antara RM2 hingga RM10 bermula 1 Jun ini.

Menurutnya, peningkatan harga antara RM2 dan RM10 itu juga masih berbaloi kerana terdapat banyak muzium lain di bawah sesebuah muzium.

“Sebagai contoh bagi Kompleks Muzium Melaka, dengan kenaikan antara RM2 hingga RM8, pengunjung boleh melawati enam muzium lain di bawahnya iaitu Muzium Sejarah, Muzium Ethnografi, Muzium Pendidikan, Muzium Sastera, Muzium Tuan Yang Terutama (TYT) dan Galeri Cheng Ho.

“Kompleks Muzium Samudera pula merangkumi Kapal Flor de la Mar, Muzium Samudera Fasa 2, Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KD Seri Trengganu,” katanya.

Tambahnya dengan kenaikan itu, harga tiket baharu warganegara dewasa bagi Kompleks Muzium Melaka adalah RM10 berbanding sebelum ini RM6, kanak-kanak RM5 (RM3), manakala bukan warganegara RM20 (RM12) dan kanak-kanak, RM10 (RM6).

Kompleks Muzium Samudera pula bagi warganegara dewasa RM10 (RM6), kanak-kanak RM5 (sebelum ini RM3) manakala pelancong asing RM20 (RM12) dan RM10 (RM6) bagi setiap kanak-kanak.

Info grafik kenaikan harga tiket masuk ke muzium di Melaka antara RM2 hingga RM10 bermula 1 Jun ini
yang dimaklumkan Muzium & Galeri Melaka melalui Facebook rasminya semalam.

Akramuddin berkata, di Perkampungan Hang Tuah pula harga tiket baharu bagi warganegara dewasa adalah RM10 (RM5), kanak-kanak RM5 (RM3) manakala bukan warganegara RM20 (10) dan RM10 (RM5) bagi setiap dewasa dan kanak-kanak.

“Manakala bagi Muzium Istana Kesultanan Melaka, harga tiket warganegara dewasa adalah RM10 berbanding sebelum ini RM5, kanak-kanak RM5 (RM3) selain bukan warganegara dan RM20 (RM10) dan RM10 (RM5) untuk setiap dewasa dan kanak-kanak.

“Muzium Kapal Selam pula naik kepada RM10 daripada sebelum ini RM6, kanak-kanak RM5 (RM3) manakala pelancong warga asing RM20 (RM12) dan RM10 (RM6) bagi setiap dewasa dan kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette