Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan sebahagian perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi setuju supaya kerajaan menjalankan audit forensik terhadap Sapura Energy Bhd. (Sapura Energy).

Katanya, seperti yang telah diutarakan dalam Debat Perdana antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim empat hari yang lalu, syarikat yang mana kepentingannya dimiliki Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu dibantu.

“Sebanyak lebih RM5 billion telah dilaburkan oleh PNB. Syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor terlibat.

“Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, Petronas sesuai untuk mengambil alih dan melakukan turn around sesegera mungkin.

“Namun, kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib turut dilakukan agar ianya lebih telus,” kata Zahid ketika berucap pada Perhimpunan Agung Khas UMNO, di sini, hari ini.

Dalam Debat Perdana itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mengesyorkan kepada kerajaan supaya menjalankan audit forensik terhadap Sapura Energy yang berhadapan dengan kemelut hutang sebelum kerajaan memutuskan untuk campur tangan.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut berkata tekad politik juga perlu sebagai pendorong kepada usaha untuk membetulkan sistem yang terpalit dengan rasuah, penyelewengan atau memiliki urus tadbir lemah dalam sesebuah syarikat. – MalaysiaGazette