Mangsa maut Kamaruddin Karim yang dijadual menunaikan umrah November ini maut di tempat kejadian manakala isterinya parah selepas motosikal ditunggangi terbabas di Jalan Paya Ikan Bukit Baru - Duyong, Melaka petang tadi.

MELAKA – Seorang lelaki yang dijadual menunaikan umrah November ini maut manakala isterinya parah selepas motosikal ditunggangi terbabas di Jalan Paya Ikan Bukit Baru – Duyong di sini petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, dalam kejadian pukul 1.45 petang itu, mangsa, Kamaruddin Karim, 57, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Linda Awal, 43, patah tulang rusuk kanan.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave datang dari arah Duyong dipercayai baharu pulang dari menziarahi bapa saudaranya menghala ke Paya Ikan untuk pulang ke rumahnya di Kampung Ku Sayang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, dipercayai motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan akibat jalan basah kerana cuaca hujan sebelum terbabas ke kiri jalan dan jatuh berdekatan kawasan rumput.

“Akibatnya, penunggang motosikal maut ditempat kejadian manakala isterinya dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka selepas dipercayai mengalami patah tulang rusuk kanan,” katanya.

Tambahnya difahamkan, pasangan berkenaan sepatutnya menunaikan umrah November ini.

Kes disiasat pegawai penyiasat Inspektor R. Nitheish Kumarr mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette