Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli di kempen Cabang Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR – Calon Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli Abdul Halim menyeru semua ahli PKR yang bertanding dalam pemilihan parti kali ini supaya elak daripada melakukan serangan peribadi.

Menurutnya, tindakan itu yang mungkin dianggap satu strategi untuk mendapat undi pada awalnya, tetapi akan merugikan parti dan pimpinan kelak.

Bekas aktivis pelajar itu berkata, proses demokrasi adalah amat ‘bising’ dan pastinya memerlukan pandangan, cadangan dan kritikan membina namun ianya tidak harus digunakan untuk membunuh karekter ahli dari parti sendiri.

“Ini sebuah parti reformasi yang lahir atas semangat perjuangan yang lantang bersuara serta berani membawa perubahan untuk semua dan bukanlah sebaliknya. Sehingga kini kita telah mengamalkan demokrasi yang tinggi.

“Janganlah kita berlawan dan tikam menikam antara satu sama lain ketika pemilihan parti yang juga membabitkan keluarga kita sendiri hanya semata-mata kemenangan jawatan.

“Lawan secara adil dan saksama, yang menang itu kerana pengundi rasa mereka layak dan kalah itu perlu terima hakikat tetapi biarlah dengan cara betul.

“Pemilihan PKR kali ini  jangan kita dicemarinya dengan taktik politik kotor dan unsur negatif yang bercanggah dengan prinsip demokrasi yang kita telah amalkan selama ini. PKR perlu tunjuk contoh kepada parti lain dalam membawa prinsip perjuangan yang baik dan hebat.

“Biarlah proses pemilihan kita bersih tanpa meninggalkan semangat perjuangan dan kekitaan yang sedia ada. Yang penting sekali semangat kekeluargaan juga perlu ada sepanjang pemilihan supaya proses berjalan lancar dan bersih,” katanya ketika di temui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Adam, menyertai PKR September lalu dan dikecualikan daripada peraturan parti yang melarang ahli dengan tempoh kurang daripada 12 bulan daripada memohon pemilihan untuk jawatan parti.

Pemilihan bagi merebut jawatan Ketua AMK menyaksikan persaingan Adam Adli dan Fahmi Zainol, manakala Kamil Munim dan Chua Wei Kiat akan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Ketua AMK.

Adam berkata, dia tidak begitu mengendahkan sebarang serangan mahupun memperkecilkan kebolehan dirinya atau kelayakan beliau bertanding.

Sebaliknya fokus utama ialah usaha menjadikan PKR sebuah parti progresif melalui lebih banyak penyertaan golongan muda.

Selain itu kata Adam, usaha itu juga akan berterusan memandangkan situasi rakyat secara umumnya sedang menderita berikutan keadaan ekonomi merudum selain ketidakstabilan politik sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Lagipun serangan peribadi dalam kalangan ahli parti akan menyebabkan perpecahan dalaman, kita sebenarnya ada agenda lebih besar dalam meyakinkan rakyat PKR adalah parti yang mampu menyelami dan menyelamatkan mereka dari situasi ketika ini,” ujarnya.

Untuk makluman pemilihan PKR diadakan secara hibrid buat kali pertama dengan menyaksikan jawatan nombor dua parti itu menjadi tumpuan apabila Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Naib Presiden dilantik Rafizi Ramli, bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Presiden PKR bagi tempoh 2022-2025 apabila menang tanpa bertanding.

Turut mencuri tumpuan pada pemilihan kali ini adalah empat jawatan Naib Presiden PKR yang menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding, termasuk Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Aminuddin Harun.

Saingan mengisi jawatan itu turut melibatkan penyandang Chang Lih Kang, Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, dan Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, bekas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak M.A Tinagaran, bekas Ahli Parlimen Kapar G.Manivannan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa Dr G.Gunaraj juga akan bersaing bagi jawatan Naib Presiden PKR.

Keputusan tidak rasmi calon yang menang akan dipaparkan di laman web rasmi PKR dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian tamat pada 22 Mei, sementara keputusan rasmi akan diumumkan di Kongres Nasional PKR pada 25 Jun. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast