Gelandangan, Saiful Bohari bercakap pada media ketika Program Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Menyantuni Gelandangan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Hidup sebatang kara sejak kecil lagi, itu keadaan yang dialami Saiful Bohari Salim, 43, sewaktu dia menetap sendirian di ibu kota ketika usianya 12 tahun lagi.

Bukan itu sahaja, hidupnya kini ibarat kais pagi, makan pagi, kain petang makan petang kerana terpaksa menyara dan menguruskan isterinya yang uzur akibat sakit kaki ditambah tiada pekerjaan tetap untuk kelangsungan hidup.

“Kalau bab makan saya tak kisah kerana boleh dikatakan ada sahaja rezeki hari-hari dapat makanan percuma. Cuma saya risau masalah kewangan kerana perlu membayar bilik sewa RM25 sehari,” katanya pada pemberita.

Biarpun sudah dua kali melangsungkan perkahwinan, dia tidak dikurniakan zuriat namun mempunyai anak tiri hasil dari perkahwinan kedua.

Saiful yang berasal dari Klang, Selangor berkata, dia antara golongan kurang bernasib yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kini menetap bersama isterinya di sebuah bilik kecil di Lorong Haji Taib 1 sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, dia hanya mencari nafkah setiap hari dengan meniaga jam tangan dan pembesar suara bluetooth secara kecil-kecilan di setiap lorong di sekitar ibu negara namun hasil pendapatan itu tidak menentu.

“Kalau saya berniaga daripada pagi sampai petang dapatlah RM100, tetapi pendapatan saya semakin teruk ketika Covid-19 tidak tentu kadang-kadang hanya dapat RM30 atau RM50, sampai tidak laku pun ada.

“Tentang bayaran sewa bilik tu pernah juga saya tak dapat nak membayar, tetapi syukurlah tuan rumah baik hati dan memahami keadaan saya,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengapa dia tinggal bersendirian tanpa keluarga, Saiful berkata, dia merupakan anak yatim piatu dan anak tunggal keluarganya. Sejak kecil dia dijaga oleh arwah datuknya sehingga usianya lima tahun.

“Saya datang merantau dekat Kuala Lumpur ini sejak usia 12 tahun lagi selepas arwah datuk saya meninggal dunia. Saya tidak bersekolah dan hanya belajar membaca serta mengeja sendiri melalui surat khabar yang saya kutip.

“Semasa 12 tahun itu juga saya sudah bekerja dengan mengutip sampah di sini untuk menyara hidup saya di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang prihatin terhadap golongan sepertinya kerana dapat menampung perbelanjaan harian isi rumah.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tuan Aminurrahim Mohamed (tengah) mengedarkan makanan kepada gelandangan pada Program Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Menyantuni Gelandangan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 MEI 2022.

Saiful ditemui selepas menerima bantuan Program Agihan Makanan dan Menyantuni golongan memerlukan anjuran Pegawai Bersekutu Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Yayasan Felda dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan Sempena Dekad Platinum APM ke-70 Tahun di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Jalan Chow Kit, di sini, hari ini.

Turut hadir memberikan bantuan makanan dan keperluan asas iaitu Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Aminurrahim Mohamed; Penaung CDERT Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris serta Pengarah Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh.

Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris bercakap pada media ketika Program Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Menyantuni Gelandangan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 MEI 2022.

Sementara itu, menurut Mohd Banuri, program itu merupakan kesinambungan daripada program tanggungjawab sosial korporat untuk petugas barisan hadapan sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara.

“Ini adalah program berterusan kita sejak tahun 2020, yang mana setiap Isnin minggu pertama kami akan turun ke lokasi di seluruh Lembah Klang untuk membantu warga kota yang kurang bernasib baik, terjejas pandemik, gelandangan dan mereka yang ditimpa musibah.

“Bagaimanapun, program hari ini kita fokuskan memberi makanan yang dimasak secara bergotong-royong sejak awal pagi tadi sebelum diedarkan kepada 1,100 penerima di tujuh lokasi di sekitar ibu negara.

“Dari segi dana yang diperlukan untuk setiap kali program ini dianggarkan sekitar RM6,000 hingga RM8,000 menerusi hasil kutipan komitmen sumbangan dari anggota kita yang cakna terhadap golongan memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast