derma darah
Trend terkini orang muda turut mengidap penyakit darah tinggi. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Daripada lebih 300 juta orang dalam populasi Malaysia, sebanyak 64 juta orang telah mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Keadaan itu bermakna tiga daripada 10 orang telah berdepan penyakit itu yang juga menunjukkan trend semakin muda.

Pakar perubatan keluarga dari Jabatan Jagaan Kesihatan Primer, Universiti Malaya, Dr. Beh Hooi Chin berkata,  berbanding trend lama yang menyaksikan hanya orang tua berumur 65 tahun ke atas yang mengalami penyakit itu, statistik 2019 menunjukkan kebanyakan pesakit adalah berumur antara 40 hingga 60 tahun.

“Statistik menunjukkan peluang lelaki menghidap tekanan darah tinggi adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding wanita.

“Ini mungkin mempunyai kaitan dengan merokok, lebihan berat badan dan tabiat tidak sihat lain yang lebih lazim dalam kalangan lelaki berbanding wanita,” katanya kepada China Press.

Secara umumnya, kata Hooi Chin, terdapat tiga jenis tekanan darah tinggi iaitu bentuk primer, sekunder dan khas.

” Tekanan darah tinggi primer mempunyai kaitan dengan genetik dan umur sementara jenis sekunder adalah didorong oleh komplikasi dan faktor lain seperti perubahan hormon.

“Jenis khas pula tidak diketahui puncanya secara spesifik seperti tekanan darah wanita mengandung yang meningkat secara mendadak tanpa ada sebab yang spesifik,” katanya.

Menurutnya, cara terbaik untuk mengurangkan risiko tekanan darah tinggi adalah mengurangkan pengambilan garam.

“Ramai orang bagaimanapun tidak menyedari makanan tertentu seperti kicap, sos tiram, sos tomato, sos cili dan keju mempunyai kandungan garam yang tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette