Mostafa dipenjarakan satu hari dan didenda RM10,000 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini memberi rasuah RM250 kepada Pegawai Penguatkuasa  Januari lalu

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warganegara Bangladesh dipenjara satu hari dan didenda RM10,000 setelah mengaku bersalah memberi rasuah RM250 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mostafa Mohammad, 34,  didakwa memberi rasuah kepada Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada Januari lalu.

Beliau mẹmbuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Mostafa secara rasuah memberikan satu suapan wang tunai RM250 kepada pegawai penguat kuasa MBIP sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai runcitnya, Nur Mostafa.

Tertuduh melakukan perbuatan itu setelah melanggar syarat-syarat lesen iaitu menjual arak tanpa lesen, menjual rokok tanpa cukai, membela ayam hidup untuk jualan dan meletakkan barang dagangan di kaki lima sehingga menimbulkan halangan.

Tindakan itu dibuat oleh Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP kira-kira pukul 12 tengah hari pada 19 Januari lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam, Hussin Othman.

Dalam rayuannya, Hussin memberitahu, anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau dan mempunyai tanggungan dua orang anak berusia tiga dan lima tahun manakala isterinya tidak bekerja.- MalaysiaGazette