Three workers unloading sacks of rice off a lorry at Chow Kit, Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 27 SEPTEMBER 2017
Three workers unloading sacks of rice off a lorry at Chow Kit, Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 27 SEPTEMBER 2017. Kelihatan tiga orang pekerja memunggah guni-guni beras dari pada sebuah lori ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Permit import (AP) untuk beras masih lagi berkuat kuasa, kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Bagaimanapun, AP bagi mengimport kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair, tidak lagi dikenakan dan berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan pemansuhan AP ini adalah sebagaimana diputuskan oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas MAFI, walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk membawa masuk komoditi agromakanan daripada luar negara, pengimport masih perlu mempunyai Import Permit (IP) bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu-pintu masuk negara.

Ini untuk memastikan kawalan biosekuriti dan produk yang diimport adalah bebas daripada penyakit dan perosak serta diperoleh daripada loji yang diiktiraf oleh kerajaan.

Dengan pemansuhan AP ini, semua syarikat adalah dibenarkan mengimport semua komoditi agromakanan tertakluk kepada Import Permit (IP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) beserta syaratsyarat yang tertulis dalam permit selaras dengan subseksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan juga Akta serta Peraturan lain yang berkuat kuasa.

Menurut kenyataan itu, MAFI akan terus memainkan peranan penting bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan dan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat dimakan serta berkhasiat, pada masa yang sama, kebajikan pengeluar makanan tempatan juga akan terus dipelihara.

MAFI juga berharap dengan keputusan kerajaan ini, bekalan makanan dan sekuriti makanan negara akan terus kekal terjamin bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette