IPOH – Mayat pendaki kedua yang hilang dihanyutkan kepala air di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini akhirnya ditemui pasukan penyelamat hari ini.

Mayat mangsa ditemui oleh unit anjing pengesan K9 Bomba pada jam 11.20 pagi dengan kesan kecederaan pada badan dan kepala.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, mangsa ditemui di bawah timbunan di lokasi Sektor C iaitu di kawasan terowong berhampiran jalan besar.

Lokasi pencarian di kawasan terowong.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan di lokasi berkenaan sebaik unit K9 mengesan kedudukan mangsa.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan sebelum  diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Muhamad Shahrizal, pihaknya tidak dapat mengesahkan identiti mangsa dan ia hanya boleh ditentukan selepas bedah siasat di jabatan forensik serta pengecaman waris.

“Operasi pencarian ditamatkan jam 1 tengah hari tadi susulan penemuan mangsa kedua itu,” jelas beliau.

Pada Isnin lalu, media tempatan melaporkan dua wanita hilang ketika mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands dipercayai dihanyutkan arus deras selepas ditimpa kepala air.

Identiti kedua-dua wanita itu juga telah dikenal pasti sebagai See Du Yen, 30, dan Ng Yee Chew, 46. – MalaysiaGazette