Adham Baba beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Sambutan Aidilfitri Penerangan UMNO Johor, di sini malam tadi.

KULAI — UMNO Johor meletakkan sasaran menang sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keyakinan itu berdasarkan kejayaan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka yang lepas.

“Kalau kita lihat senario sekarang ini, ia tentu sekali menjurus kepada lebih banyak kerusi Parlimen untuk kita menangi.

“Kita kira (dalam PRN Johor) sebanyak 40 daripada 56 kerusi kita menang dan kita dapat dua pertiga. Jadi kita cuba target sebaik-baiknya 20 daripada 26 Parlimen, itu dari sudut penerangan negeri dan kita tengok berdasarkan kemampuan kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Penerangan UMNO Johor, di sini malam tadi.

Adham berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sasaran UMNO Johor pada PRU15.

Ahli Parlimen Tenggara itu turut menambah, jentera penerangan ketika ini dalam keadaan  siap siaga untuk berdepan PRU15 yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Bagi penerangan (PRU15)  kita melihat ke arah dua perkara iaitu bagaimana prosedur operasi standard (SOP) masa depan dikendalikan, sama ada menggunakan SOP seperti PRN atau baharu, tetapi pembukaan sektor ekonomi 1 April lepas menunjukkan ada lebih kebebasan untuk berkempen.

“Tetapi kita tetap akan gabung pendekatan sama ada hibrid dan juga fizikal, untuk pengundi baharu, kita juga akan menggunakan media sosial (seperti sebelum ini),” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) berakhir pada 31 Julai ini, beliau berkata, setakat ini tiada perbincangan diadakan sama ada bagi meneruskan perjanjian itu atau tidak.

“Mengenai sama ada MoU akan disambung, parti yang akan bincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob..kerana setahu saya dalam anggota jemaah menteri, CSA 2.0 tidak dibincang-lagi,” katanya.- MalaysiaGazette