Muhammad Sanusi Md Nor Kedah MB RM1000 aidilfitri cash aid civil servants
Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak terkesan dengan kepulangan semula Syafiq Ahmad ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana masih mempunyai pemain lain yang berkualiti dalam pasukan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dia juga yakin negeri ini mampu melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti pada masa hadapan.

“Sekarang kita tengah buat Liga Menteri Besar di seluruh Kedah dan beratus-ratus pemain akan dilahirkan menerusi liga ini, jadi saya sedikit pun tidak risau tentang pemain. Kalau tengok, ramai anak Kedah yang dicungkil, dilatih di Kedah lepas itu dieksport ke negeri lain.

“Saya tidak takut dengan ketiadaan dia (Syafiq) kerana kita ini macam ada kilang yang melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berkualiti. Pasukan Selatan sendiri ambil dua, tiga orang pemain Kedah jadi apa nak hairan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa tindakannya mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ‘tokong’ menyebabkan JDT memanggil Syafiq untuk kembali menyertai pasukan Harimau Selatan.

“Ada yang suruh beli Syafiq terus tetapi tidak perlu kerana banyak lagi pemain yang kita ada. Hujung bulan nanti akan ada musim perpindahan, jadi akan ada proses ganti pemain dan kita akan cari yang bagus-bagus.

“Lagi satu, kenapa hendak salahkan saya Syafiq dipanggil semula ke JDT. Dalam perjanjian pinjaman, pasukan asal memang boleh ambil semula pemain pinjaman pada bila-bila masa dan tiada siapa yang boleh halang,” katanya.

Tambahnya, mengenai isu ‘tokong’ yang dinyatakannya sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, dia sama sekali tidak menyebut nama mana-mana pihak dan berasa hairan mengapa ada pihak yang terasa.

Sebelum ini, pasukan JDT dalam satu kenyataan di media sosial miliknya memaklumkan bahawa penyerang kebangsaan itu akan kembali ke kelab asalnya sejurus berakhir rehat antarabangsa bulan depan. – MalaysiaGazette