Baharuddin Tahir

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor mengakui kesesakan yang berlaku melibatkan urusan berkaitan pasport berpunca daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April lalu.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, pihaknya menerima peningkatan urusan berkaitan pasport antarabangsa sehingga 1,800 naskhah sehari pada bulan ini berbanding 700 sehari pada bulan Mac.

“Secara purata sebelum sempadan dibuka Imigresen Johor mengeluarkan 700 naskhah pasport sehari dan kita dapati jumlah itu meningkat kepada 1,000 naskhah pasport sehari sebelum terus meningkat sehingga 1,800 naskhah sehari pada bulan ini.

“Jumlah ini dijangka berterusan untuk dua atau tiga bulan akan datang sebelum kembali pulih kepada angka sedia ada seperti sebelum bulan April lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Setia Tropika hari ini.

Jelas Baharuddin, sambutan itu bukan sahaja berlaku di Kompleks KDN dan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) tetapi di kesemua pejabat pengeluaran pasport seluruh Johor termasuklah di Mersing yang hanya mempunyai tiga kaunter.

Untuk itu, kata beliau, pihaknya telah mengambil beberapa inisiatif bagi melancarkan urusan orang awam termasuklah melanjutkan waktu operasi dan juga pembukaan kaunter sepenuhnya.

“Bermula 11 Mei lalu, kesemua 10 pejabat berkenaan telah beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam manakala pada hari Sabtu kaunter berkenaan turut dibuka sehingga pukul 12.30 tengah hari.

“Sementara itu, kesemua pejabat berkenaan turut diarahkan beroperasi pada kapasiti maksimum untuk memudahkan urusan rakyat negara ini memperbaharui pasport antarabangsa mereka,” ujarnya.

Selain menambah baik aspek keselesaan menunggu untuk orang ramai yang datang bagi menjalani urusan dengan jabatan berkenaan.

“Kami dimaklumkan ada antara mereka datang seawal 4.30 pagi dan telah mula beratur bagi mendapatkan nombor giliran, saya juga telah maklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa kami akan tambah baik perkara itu.

“Antara yang akan dilaksana termasuklah mengarahkan kakitangan memberikan mereka nombor giliran seawal pukul 4.30 pagi bagi memudahkan mereka merancang tempoh untuk berurusan,” jelasnya.

Onn Hafiz hari ini dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya ambil maklum perkembangan semasa yang dihadapi rakyat Johor yang ingin memohon atau memperbaharui pasport mereka.

JIM, katanya, telah memberi jaminan bahawa kelulusan pembaharuan pasport hanya akan mengambil masa tiga hari sahaja. Pembaharuan itu pula hanya perlu dibuat secara atas talian.

Bagaimanapun, tinjaun dibuat beliau awal pagi tadi mendapati orang ramai masih perlu beratur panjang bagi melaksanakan urusan mereka di Kompleks KDN Setia Tropika.

Katanya, keadaan di Imigresen Setia Tropika setiap pagi semenjak 1 Mei lalu dan perkara itu tidak boleh dibuiarkan berlarutan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Masalah sesak UTC Johor akan diselesaikan dalam masa terdekat – MB