Keadaan Pasar Besar Kuantan yang semakin lengang berikutan segelintir peniaga ayam terpasa tutup kedai kerana bekalan ayam terputus dalam tempoh seminggu ini.

KUANTAN – Hampir seminggu para peniaga ayam Pasar Besar Kuantan di sini terpaksa menutup operasinya berikutan bekalan ayam terhad.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati hanya tujuh peniaga berniaga daripada 27 lot di pasar berkenaan yang mejadi tumpuan pengguna setiap hari.

Lebih mengejutkan apabila sebelum pukul 9 pagi, tiada lagi peniaga ayam beroperasi, hanya mendengar laungan peniaga mengatakan ayam sudah habis kepada pelanggan.

Ketika ditanya sama ada mereka menutup operasi kerana cuti umum atau mereka masih dalam mood hari raya, rata-rata peniaga mengatakan itu adalah realiti yang mereka terpaksa hadapi.

Difahamkan kekurangan bekalan ayam telah berlarutan selama seminggu bahkan sebelum raya lagi para peniaga berdepan dengan masalah yang sama.

Ada dalam kalangan mereka mendakwa pihak kilang pemprosesan unggas itu tidak mahu membekalkan ayam berikutan menangung kerugian dengan harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

Ada juga mendakwa stok ayam di ladang cukup tetapi pihak pembekal memilih untuk mencatu bekalan kepada para peniaga sebagai satu bentuk protes kepada pihak berkuasa.

Salah seorang peniaga ayam, Muhammad Nur Idham Ahmad, 39, berkata, kekurangan bekalan sampai seminggu berlaku kali pertama kepadanya yang sudah berniaga belasan tahun.

Muhammad Nur Idham Ahmad

“Bekalan hari ini pun harapkan kawan-kawan, ada yang cakap ayam kurang dan dijangka harga naik lagi. Dulu kalau harga ayam mahal dan stok bekalan tiada pun sekejap sahaja,” katamya ketika ditemui hari ini.

Jelas Muhammad Nur Idham, bekalan yang ada hanya boleh dijual kepada pelanggan datang ke pasar dalam kuantiti yang sedikit dan tidak mampu bagi menampung permintaan yang banyak.

Misalnya, kalau dahulu dapat menjual 100 ekor sehari kini untuk mendapatkan 30 ekor pun ia bergantung nasib kepada pembekal.

Peniaga juga, katanya, rasa terbeban dan semakin bimbang periuk nasi mereka terjejas berikutan bekalan ayam yang terputus.

“Restoran pun banyak tutup, tiada bekalan ayam dapat dibekalkan kepada mereka, kebiasaan kami dapat jualkan kepada mereka tapi kali ini memang tidak boleh.

“Kalau esok tak berani nak jawab. Esok ayam ada ke tidak dengan keadaan yang lebih seminggu sudah macam ini,” katanya lagi.

Manakala bagi Ahmad Darwish, 60, yang berpengalaman 40 tahun meniaga ayam di Pasar Besar Kuantan juga menghadapi perkara yang sama dan tidak boleh berjanji kepada pelanggan yang membuat tempahan.

Ahamd Darwish menunjukan stok ayam yang menyusut untuk dibekalkan kepada pengguna di Pasar Besar Kuantan hari ini.

“Bekalan memang terputus, kalau dapat tidak sampai separuh daripada kebiasaan. Untuk restoran pula memang tidak boleh bekalkan, hanya boleh bekal kepada pelanggan yang datang awal pagi sahaja.

“Memang ramai pembekal hendak naikkan harga, berikutan penternak tidak mahu bagi ayam dan  khuatir harga kawalan ayam akan disambung lagi selepas enam bulan,” katanya.

Sementara itu, difahamkan, dua pusat pusat pemprosesan ayam di Kuantan telah ditutup kerana tidak mampu menampung kos operasi dan membekalkan ayam pada harga siling seperti sebelum ini.

Harga ayam siap dipotong di Pasar Besar Kuantan kini dijual pada harga RM9.50 sehingga mencecah RM11.50 sekilogram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast