GEORGE TOWN – “Kelmarin baru dia (Amirrudin) beritahu maknya bahawa sudah lama tiada kematian di kampung ini (Kampung Pajak) untuk dia gali kubur namun saya tak sangka gali kubur yang dimaksudkan itu buat dirinya,”.
Kata bapa kepada Muhammad Amirrudin Azizan, 19, kelindan yang maut bersama pemandunya dalam nahas membabitkan sebuah treler di atas Jambatan Pulau Pinang di sini, hari ini.
Azizan Ishak, 62, berkata, dia dikejutkan dengan berita kematian anak keenam daripada tujuh beradik itu ketika sedang menjamah sarapan pagi di sebuah gerai di Kampung Pajak, Baling Kedah kira-kira jam 7 pagi tadi.
Jelas peniaga ayam itu, anaknya sudah dua tahun bekerja sebagai kelindan lori penghantaran serai bersama sepupunya, Mohd Fazrol Maarof, 39, yang turut terbunuh dalam nahas sama.
“Selalunya dia keluar untuk pergi kerja sekadar salam dengan maknya (Saerah Salleh, 53) saja tapi awal pagi tadi dia minta maaf dan tak sangka itu petanda dia meninggalkan kami sekeluarga.
“Amirrudin seorang anak yang rajin dan mengutamakan waktu solat malah dialah penghibur dalam keluarga dan pemergiannya sememangnya akan dirindu tapi saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Azizan berkata, dia mengetahui berita mengenai kematian anaknya secara kebetulan ketika rakan yang sedang menjamah sarapan bersama memberitahu mereka menerima informasi menerusi aplikasi WhatsApp mengenai kemalangan ngeri membabitkan lori muatan serai di Jambatan Pulau Pinang.
“Susulan itu, mereka memberitahu bahawa mangsa yang terbabit dalam nahas itu menetap di Kampung Pajak, sebelum menyedari mangsa berkenaan adalah anak saya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Izhan Maarof, adik kepada Mohd Fazrol berkata, abangnya tidak menunjukkan sebarang kelakukan pelik sebelum insiden tersebut.
“Kami pun terkejut sebaik mendengar berita kematiannya,” katanya sambil menambah mangsa merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
Tambahnya, jenazah abang serta sepupunya itu disemadikan pada malam ini di tanah perkuburan berhampiran Kampung Pajak selepas selesai urusan bedah siasat.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan pemandu dan kelindan sebuah lori membawa muatan serai maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 8.6 Jambatan Pulau Pinang dari arah Perai menghala pulau di sini, awal pagi tadi.
Kejadian jam 5 pagi itu menyebabkan badan pemandu lori tersebut terputus dua selain kedua-dua mereka tersepit dalam lori tersebut.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Fazrol Maarof, 39, dan kelindannya, Muhammad Amirrudin Azizan, 19 tahun. – MalaysiaGazette