Tuan Ibrahim Tuan Man UMNO PAS MN Muafakat Nasional Bersatu PN Perikatan Nasional government
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas menegaskan Muafakat Nasional ((MN) jelas masih bernyawa dan tidak terkubur bagai dikata pelbagai pihak sebelum ini.

Ia berdasarkan kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mana berkata, MN kini dalam fasa nyawa-nyawa ikan baru-baru ini, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Masih ada nyawa lagilah. Kalau nyawa-nyawa ikan itu kiranya masih bernyawa lagi.

“Tapi bagi kita kenyataan itu panjang dan kita tengok ruang yang diberikan untuk pimpinan duduk berbincang, saya kira ini positif.

“Walaupun dia (Ahmad Zahid) kata tinggal nyawa-nyawa ikan tapi pada awalnya dia sebut kedua-dua pimpinan perlu duduk bincang, saya rasa ini positif walaupun dia sebut nyawa-nyawa ikan pada hujung,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Dewan Seroja, Kem Kementah hari ini.

Tuan Ibrahim diminta mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa kerjasama UMNO dan Pas menerusi MN sebagai ‘nyawa-nyawa ikan’.

Jumaat lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, soal masa depan MN wajar dibincangkan di peringkat jawatankuasa Pas dan UMNO sebelum hasil perbincangan dibawa kepada pimpinan kedua-dua parti untuk diputuskan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menegaskan, pihaknya melihat ada kepentingan untuk kedua-dua parti kembali ke meja rundingan demi kesatuan ummah.

“Kita mengakui bahawa MN bukan hanya penyatuan dalam parti politik sahaja, ia lebih besar daripada itu dengan kerangka dan sebagainya.

“Bagi Pas kita melihat bahawa keperluan untuk kita bincang bersama dan kita akan urusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hayat MN kini nyawa-nyawa ikan – Zahid