KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Parti Amanah Negara (Amanah) menerusi hantaran di Facebook selepas mahkamah tersebut merekodkan penghakiman persetujuan antara kedua-dua individu berkenaan.
“Penghakiman ini direkodkan setelah Asyraf Wajdi bersetuju untuk memadam dan menarik balik hantaran di Facebook beliau pada 30 September 2019 yang lalu bertajuk “Tabung Haji Jual RM 2.6b Ekuiti: YB Mujahid Harus Segera Beri Penjelasan.”
“Selain itu, turut direkodkan di mahkamah bahawa Asyraf perlu membuat hantaran bertulis di akaun Facebook miliknya berhubung dengan persetujuan untuk menarik balik kenyataannya sebelum ini,” demikian menurut hantaran itu.
Menurut Amanah, penghakiman tersebut direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir di mana Mujahid diwakili oleh peguamnya, Noorazmir Zakaria dan Atiqa Azmi manakala Asyraf Wajdi diwakili peguamnya, Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi dan Aimi Shazwani Yaakob.
Kes itu melibatkan saman fitnah Mujahid terhadap Asyraf Wajdi yang difailkan pada 19 November 2019 berhubung tuduhan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menerusi Facebook miliknya mendakwa wujudnya penjualan saham Tabung Haji di dalam syarikat Tenaga Nasional Berhad ketika Mujahid menjawat jawatan sebagai Menteri Agama.
Mujahid bersyukur kes itu selesai dan berharap tidak lagi wujud sebarang tohmah oleh mana-mana pihak yang mengaitkan dirinya dengan sebarang dakwaan kononnya beliau telah meluluskan penjualan saham Tabung Haji di dalam syarikat Tenaga Nasional Berhad ketika menjawat menjadi menteri. – MalaysiaGazette