BENTONG – Polis meminta pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Kilometer 121 Lebuhraya Pantai Timur hala barat, hari ini, tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, individu terbabit telah melanggar seorang penunggang motosikal setelah terjatuh di tengah jalan akibat terbabas dalam kumpulan konvoi motosikal.
Mangsa meninggal dunia dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, ujarnya.
Menurut Ramli, siasatan awal mendapati penunggang motosikal bersama tiga sekumpulan rakan dalam perjalanan dari Temerloh ke Raub.
“Setibanya di lokasi kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha TZM dipercayai berlaga dengan rakannya menunggang Yamaha Y15z dan terbabas.
“Akibat pelanggaran, mangsa yang bekerja sebagai pemandu jentera berat jatuh di tengah-tengah jalan.
“Kemudian datang sebuah kenderaan dipercayai pemanadu sebuah lori telah melanggar mangsa yang terbaring di tengah-tengah jalan dan disusuli datang sebuah kereta Toyota Yaris melanggar mangsa juga,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Ramli berkata, akibat kemalangan tersebut, Muhamad Zorpan Ahmad, 23, maut di lokasi kejadian manakala tiga rakannya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Temerloh dan Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ramli meminta pemandu lori tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di talian 09-3964999. – MalaysiaGazette