Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap kepada media pada Majlis Kenduri Raya bersama Sektor Perdagangan Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Para pemain industri penternakan ayam sepatutnya boleh menjangka langkah drastik yang diambil kerajaan dengan memberhentikan pengeksportan ayam sehingga bekalan kembali stabil.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, negara lain juga akan mengambil langkah yang sama jika berlaku kekurangan sesuatu bekalan.

“Negara-negara lain di luar sana pun ambil langkah yang sama, kita prihatin kepada rakyat sendiri.

“Jika kita dapat tahu yang ayam tak cukup dalam negara, tidak logik kalau kita masih eksport (ayam) ke negara luar. Kalau bekalan tak cukup kita dahulukan permintaan dalam pasaran tempatan. Kalau ada lebih baru boleh dieksport,” katanya.

Tambah beliau, kepentingan rakyat perlu diutamakan walaupun pemain industri meluahkan kekecewaan terhadap langkah kerajaan menghentikan eksport ayam berkuat kuasa 1 Jun ini selain pemansuhan Permit Import (AP) ) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayamyang bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

Sementara itu, Alexander membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyatakan langkah menghentikan eksport ayam ke luar negara sebagai satu langkah tergesa-gesa.

Anthony berkata, keputusan yang diambil itu tidak melihat masalah yang berlaku secara menyeluruh dan disebabkan itu perkara sama terjadi sepanjang masa.

Alexander berkata, keputusan itu diambil berdasarkan keperluan dan ia tidak dilakukan secara tergesa-gesa.

“Jika DAP kata itu tindakan melulu, bilakah masa yang sesuai? Kerajaan beri masa sebelum kuat kuasa, lebih kurang satu minggu, bukan hari ini umum esok terus laksana.”

“Jika beri masa terlalu lama, lagi lama rakyat akan menderita. DAP jangan nak politik sangat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. DAP fikir kena bagi 22 bulan notis sebelum haramkan eksport ayam ke luar negara ke?

Comments are closed.